AYUH IMARAHKAN MASJID DAN TINGKATKAN MUTU IBADAH DI BULAN RAMADAN


Saban tahun di bulan Ramadan, umat Islam pasti tidak akan melepaskan peluang untuk melakukan ibadah di masjid demi mendapatkan keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Pada ketika ini, seluruh masjid dan surau di seluruh negara menawarkan pelbagai program menarik untuk meningkatkan kekuatan ruhiyah umat Islam sepanjang bulan Ramadan. Antara ibadah utama yang hanya ada pada bulan Ramadan adalah solat sunat tarawih. Bukan itu sahaja, boleh dikatakan kesemua masjid dan surau di seluruh negara akan menganjurkan aktiviti tadarus al-Quran lazimnya selepas selesai solat sunat tarawih atau waktu lain yang bersesuaian.

Jadi, sebagai umat Islam tidak ada salahnya untuk kita meluangkan sedikit masa untuk memperbaiki mutu bacaan al-Quran serta menghayati terjemahannya. Bagi yang belum dapat membaca al-Quran dengan baik, tidak ada istilah terlewat bagi yang mahu mempelajarinya. Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: 

 "Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran." (HR Muslim).

Sebaik-baiknya aktiviti tadarus juga disusuli dengan tadabur al-Quran selaras dengan firman Allah SWT dalam al-Quran surah Sod, ayat 29 yang bermaksud:

"Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya."

Tidak hanya dengan itu, kegiatan sedekah dan infaq semakin rancak diadakan di masjid dan surau sepanjang Ramadan. Umat Islam amat digalakkan untuk memberikan sedekah dan menginfaqkan harta kepada golongan yang memerlukan serta menjauhi sifat meminta-minta. Bagi yang berkemampuan, rebutlah peluang untuk menyertai program infaq atau penajaan berbuka puasa yang diatur atau hulurkanlah derma sekadar kemampuan. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:

"Salah seorang daripada kamu yang keluar pada waktu pagi lalu memikul kayu di atas belakangnya untuk dijual, lalu dia mengeluarkan sedekah sebahagian daripada jualan kayu dan dengan (baki wang) itu dapat mencukupkan dirinya sehingga dia tidak perlu meminta kepada orang lain, adalah lebih baik baginya daripada meminta kepada seseorang (yang tidak pasti) diberi ataupun ditolak. Demikian itu, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Mulai dengan orang-orang yang ada dalam tanggunganmu." (HR Muslim).

Setelah itu, 10 terakhir Ramadan, masjid-masjid akan menganjurkan amalan beriktikaf dan qiamullail bagi memburu lailatul qadar. Oleh itu, jadikanlah masjid sebagai tempat utama untuk dikunjungi agar peranannya dalam mentarbiah insan, memperbaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemungkaran dan membina masyarakat atas asas takwa dan keredaan Allah dapat dijayakan. Selaras dengan perkembangan terbaharu ini dan bagi menyemarakkan pesta ibadat dalam kalangan umat Islam, terutama di bulan Ramadan. Firman Allah SWT:

 "Wahai orang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (daripada amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan." (QS al-Hasyr: 18).

Sumber: Harian Metro (12 Mac 2022)


 

Comments