Selain mengamalkan bacaan al – Quran di bulan Ramadan, sebagai umat Islam kita juga digalakkan untuk mengamalkan ayat 1000, dinar. Pasti ramai yang tahu apa itu ayat 1000 dinar, hikmah dan kebaikan serta kelebihan atau fadilat yang terdapat pada ayat ini yang sering diamalkan dan menjadi amalan oleh mereka yang memohon kepada Allah SWT untuk dimurahkan rezeki, meminta dipermudahkan urusan, keluar dari apa saja kesulitan dan sebagainya.
Ayat 1000 dinar juga adalah ayat suci Al-Quran yang diambil daripada surah At-Talaq ayat 2-3 yang boleh dijadikan sebagai amalan harian untuk tujuan mendapatkan kejayaan tanpa rasa ragu dengan kebaikan dan kelebihan ayat 1000 dinar ini. Apakah hikmah dan kelebihan sekiranya kita mengamalkan ayat 1000 dinar ini? Antaranya adalah:
1) Beroleh rezeki yang tidak disangka. Menurut Ibnu Mas’ud R.A., orang yang mengamalkan ayat 1000 dinar akan beroleh jaminan rezeki daripada Allah S.W.T. dan memperolehi rezeki dari jalan yang tidak pernah terfikir atau tidak dijangka sumber serta puncanya.
2) Melenyapkan segala bentuk kesusahan. Orang yang beramal dengan pengertian dan tuntutan ayat 1000 dinar akan dihilangkan apa jua bentuk kesusahan, kesempitan dan gangguan jiwa (susah hati, kebimbangan, panik) sebagaimana yang disebut oleh Ar-Rabi’ bin Khaitam:
“Allah menjadikan jalan keluar baginya” bermaksud jalan keluar atau penyelesaian dari segala sesuatu yang menyusahkan dan menyempitkan hidup dan perasaan manusia.
3) Dijauhkan dari keraguan dan kesusahan. Dengan mengamalkan ayat 1000 dinar ini, In shaa Allah, kita akan dijauhkan dari keraguan selain beroleh rezeki melalui jalan yang tidak disangka di dunia serta terhindar dari kesusahan. Seseorang itu akan berada dalam keadaan yang sangat tenang dan aman serta tidak dibelenggu dengan kerisauan yang tidak berpenghujung walaupun sedang berhadapan dengan sesuatu yang amat merbahaya.
Orang yang menyerahkan sepenuhnya urusannya kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT akan memberikan apa yang dikehendakinya. Sudah tentu kelebihan ayat 1000 dinar tidak dapat dinafikan. Tiga kelebihan yang disebutkan sudah mencukupi untuk menjadikan ayat 1000 dinar sebagai wirid dan amalan. Rasulullah SAW bersabda:
“Dan sesungguhnya seseorang akan terhalang dari rezeki kerana dosa yang diperbuatnya. Dan tidak ada yang dapat menolak qadar kecuali doa; dan tidak ada yang boleh menambah umur melainkan kebaikan.” (HR An – Nasa’I dan Ibnu Majah).
Semoga perkongsian kelebihan ayat 1000 dinar ini ini akan membantu kita untuk lebih memahami tentang ayat ini. Akan tetapi, alangkah ruginya jika kita istiqamah dalam mengamalkan ayat ini tetapi tidak menjalankan amal ibadah yang lain. Ingatlah, bertakwa dan bertawakallah kepada Allah SWT kerana Dia sebaik-baik pemberi rezeki. Semoga Ramadan kali ini dapat memberikan kita lebih banyak "kekayaan" pahala yang berlipat ganda dengan mengamalkan ibadah-ibadah Sunnah ini.
Sumber: Laman Web Aku Muslim (https://akumuslim.asia/kelebihan-ayat-seribu-dinar-yang-perlu-anda-tahu/)
Comments
Post a Comment