ISU PENGHAPUSAN ETNIK ROHINGYA OLEH KERAJAAN MYANMAR VS GERAKAN BALAS ARAKAN ROHINGYA SALVATION ARMY (ARSA) - EKPLOITASI MAKNA TERRORISME DEMI KEPENTINGAN DIRI TIDAK AKAN PERNAH TEMUI TITIK PERDAMAIAN
Bermula tahun 2012 lagi masyarakat dunia telah 'disajikan' dengan kisah 'Pogram' atau penganiayaan terancang dan keganasan kelompok Islamofobia di Myanmar. Tindakan ekstrem yang didalangi pihak kerajaan sendiri yang majoritinya menganut agama Buddha secara terang-terangan menindas masyarakat minoriti beragama Islam (Rohingya) dengan tindakan keganasan termasuklah membakar perkampungan Rohingya, menyerang masyarakat awam, diskriminasi dalam bidang pekerjaan, sosial dan sebagainya sehingga mereka tidak dibenarkan bebas melakukan sebarang aktiviti walau di tanah air sendiri.
Rentetan daripada kejadian tersebut, bukan sahaja sebilangan besar masyarakat Rohingya bertebaran melarikan diri melepasi sempadan negara demi menyelamatkan diri seperti ke Bangladesh, bahkan sebilangan kecil lagi mewujudkan gerakan balas terhadap tindakan kejam kerajaan Myanmar yang dipelopori oleh Ataullah Abu Ammar Jununi. Gerakan tersebut digelar sebagai Harakah al-Yakin (HaY) atau kini dikenali sebagai Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA). Sedikit demi sedikit gerakan ini bertambah ahli rekrutnya kerana mereka yang beragama Islam tidak mempunyai pilihan lain melainkan menyerang semula untuk mempetahankan diri dari disiksa hidup-hidup.
Dua kelompok yang melakukan tindakan keganasan ini secara jelasnya telah keluar dari normalisasi sebagai sebuah masyarakat yang seharusnya menjaga hak kemanusiaan serta keharmonian antara agama dan kaum. Dalam penulisan ini bukan untuk mencari salah siapa, namun ingin membuka minda masyarakat sesungguhnya tindakan keganasan bukanlah jalan penyelesaian untuk membangunkan sebuah tamadun yang baru atau sebuah kerajaan yang diinginkan. Namun, demi menunjukkan kekuasaan sesuatu pihak, demi kepentingan diri dan kaum kerabat, demi kepentingan ekonomi dan imej, tindakan ekstrem sanggup dijalankan untuk memberi persepsi pada masyarakat awam mahupun dunia bahawa mereka adalah suatu kuasa besar yang boleh melakukan apa sahaja walau negara dipenuhi darah rakyat sendiri.
Apa yang ingin dirumuskan adalah mana-mana agama di dunia semuanya mengajar untuk melakukan kebaikan biarpun kepada agama lain, saling hormat-menghormati dan menjaga keharmonian dalam masyarakat. Oleh sebab itu, ideologi Islamofobia perlu dihapuskan. Sentimen negatif terhadap orang Islam telah menjadi punca utama masyarakat memberontak secara ektrem untuk menghapuskan umat Islam. Dalam konteks umat Islam pula, bukan setakat berdoa kepada Maha Berkuasa, berusaha keras jua untuk menuntut ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, menguasai ekonomi, menjadi kaya-raya, menguasai politik kerana dengan ilmu, kuasa dan pangkat tidak ada mana-mana kuasa yang mudah memperkotak-katikkan umat Islam.
Selain itu, tiga perkara ini juga dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah dengan penuh berhikmah dengan cara membantu masyarakat yang memerlukan, memerintah dengan penuh keadilan tanpa mendiskriminasikan mana-mana agama dan kaum. Inilah jihad sebenar yang perlu dipegang oleh umat Islam yang secara tidak langsung memberi gambaran bahawa Islam itu sebenanrnya indah jika diamalkan mengikut panduan al-Quran dan as-Sunnah. Inilah strategi bagi pendapat penulis yang perlu dievolusikan mengikut kesesuaian zaman yang mengamalkan kapitalisme dan pada masa yang sama masih di jalan syariat. Renung-renungkan.
Sumber:Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – APR 2022, Prof Zachary Abuza- Kolej Perang Nasional Washington, Book of Forging Peace in South East Asia: Insurgencies, Peace Process, and Reconciliation.
Comments
Post a Comment