KELEBIHAN PUASA ENAM YANG HARUS UMAT ISLAM TAHU DAN AMALKAN


Setelah beberapa hari menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri, pasti ada sebahagian daripada kita sudah mula menjalani ibadah puasa enam pada bulan Syawal. Apabila masuknya Syawal, antara amalan penting yang disarankan oleh Baginda Rasulullah SAW ialah puasa enam hari. Sabda Baginda yang bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (HR Muslim).

Subhanallah! Hebat bukan ganjaran yang Allah kurniakan kepada para hambaNya yang beriman? Dengan mengamalkan puasa enam sahaja sudah mendapat pahala setimpal seperti ganjaran berpuasa setahun. Namun, apa kelebihan menjalani puasa enam ini? Antara kelebihan bagi seorang umat Islam dalam melakukan puasa enam ini adalah:

1) Mendapat ganjaran pahala seolah-olah berpuasa setahun.

2) Menguatkan hubungan dengan Allah SWT. Ini menurut sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman:


“Dan tidaklah seorang hamba bertaqarrub (mendekatkan diri beribadah) kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada apa yang telahKu wajibkan kepadanya. Dan senantiasalah hambaKu bertaqarrub kepadaKu dengan amalan sunnah hingga Aku mencintainya…” (HR Bukhari).

3) Pelengkap bagi amalan fardhu. 

4) Dimasukkan ke dalam syurga. Sesungguhnya Allah SWT maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendakiNya. Oleh sebab itulah Allah SWT telah menyediakan satu syurga yang dikhaskan untuk orang-orang yang berpuasa sahaja.


Hakikatnya banyak lagi kelebihan berpuasa enam, atau kelebihan berpuasa itu sendiri. Sepertimana yang kita ketahui puasa itu membuahkan takwa. Imam al-Ghazali menghuraikan takwa di dalam Minhajul Abidin:

“Takwa itu ialah kamu menjauhi semua yang dikhuatiri akan merosakkan agama kamu. Tidakkah kamu melihat bahawa dikatakan kepada pesakit yang dijaga, supaya menjauhi semua perkara yang boleh memudaratkan badannya sama ada dari segi makanan, minuman buah-buahan ataupun selainnya.”

Semoga dengan puasa enam ini menjadikan diri kita sentiasa dilandasi dengan dasar takwa sehinggalah bertemu dengan Ramadan pada tahun depan, in shaa Allah.

Sumber: Kolum Ad – Din, Portal Mstar.com (13 Mei 2021).


 

Comments