KONTROVERSI PENGHINAAN OLEH PADERI HINDUTVA KE ATAS KAABAH - UMAT ISLAM DISERU UNTUK MEMPERTAHANKAN KESUCIAN AGAMA ISLAM

 

Saban hari semakin kerap tularnya video tentang penghinaan ke atas agama Islam. Kadang dilihat semakin tidak terkawal. Seperti yang terjadi baru-baru ini apabila ada seorang paderi Hindutva yang berasal daripada India, Yati Narsinghanand Saraswati dengan sengaja mengeluarkan kenyataan kontroversi menyeru semua penganut agama Hindu untuk menguasai Kaabah di Kota Makkah dengan alasan Kaabah itu adalah kuil asal kepada penganut agama Hindu.

Astaghfirullahalazim! Apakah kita mahu berdiam saat agama kita dihina?! Sudahlah ia berlaku di bulan yang mulia di mana semua umat Islam di seluruh dunia sedang menjalani ibadah puasa, ada pula pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk memprovokasi untuk menaikkan kemarahan umat Islam. Tidak cukup dengan serangan ke atas umat Islam di Palestin oleh tentera Israel, kini paderi penganut Hindutva pula cuba untuk memancing amarah umat Islam. Adakah kita masih mahu berdiam? Tidak takutkah kita dengan azab Allah SWT kerana tidak memelihara agama suci ini? Firman Allah SWT:

"Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." (QS At – Tahrim: 6).

Ingatlah wahai kaum Muslimin, Islam adalah agama addin yang diredai Allah SWT sebagai suatu cara atau panduan hidup yang sudah lengkap dan sempurna serba-serbinya untuk mengatur serta menyusun kehidupan manusia sejagat. Tidakkah kita merasa sedih saat agama kita dihina dan dipandang keji oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab? Ya, sememangnya agama Islam menggalakkan perdamaian. Akan tetapi jika sudah keterlaluan sebegini perlukah didiamkan sahaja?

Serentak dengan itu, umat Islam sewajibnya memelihara kesucian Islam daripada dinodai dari sebarang bentuk penghinaan dan provokasi yang melampau seperti yang dilakukan oleh pemimpin agama Hindu berkenaan. Umumnya, umat Islam mengetahui Islam itu tertegak atas tiga tonggak utama iaitu Rukun Iman, Rukun Islam dan Ihsan. Ketiga-tiga tonggak inilah yang menghiasi sahsiah Mukmin dan Muslim sejati yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT. 

Sumber: Harian Metro (20 Ogos 2022)


Comments