MANFAAT 10 RAMADAN TERAKHIR YANG MEMBERI KERAHMATAN DALAM HIDUP UMAT ISLAM

 


Sedang kita leka memikirkan kemeriahan dan jangkaan awal 1 Syawal 1444 Hijrah, tanpa kita sedar yang sebenarnya kita terlupa tentang nikmat dalam 10 malam terakhir dalam bulan Ramadan yang paling utama untuk kita kejar. Dalam hal ini, umat Islam sewajarnya menghormati ketetapan sediakala digunakan bagi menentukan tarikh hari raya. Perkara melibatkan kaedah rukyah bagi menentukan pelaksanaan ibadah umat Islam membuktikan berlakunya penetapan sistematik dalam ibadah. Amal ibadah dalam Islam tidak dilakukan secara sewenangnya tanpa penetapan seperti digariskan dalam Islam. Semua ini membuktikan keperluan menjaga kualiti ibadah yang perlu dilakukan pada kadar masa yang ditetapkan.


Seharusnya pada sepertiga akhir Ramadan, umat Islam perlu fokus terhadap tawaran dijanjikan Allah SWT dengan adanya Lailatul Qadar. Aidilfitri pasti tiba setelah berakhirnya Ramadan Oleh itu, usah lepaskan peluang keemasan untuk seluruh umat Islam meraih ganjaran berlipat kali ganda daripada Allah SWT pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Keistimewaan Lailatul Qadar dinyatakan secara jelas dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: 


"Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." (QS Al-Qadr: 3-5).


Malah, Rasulullah SAW menggesa umatnya mencari Lailatul Qadar menerusi hadis yang bermaksud: 


 "Sesiapa daripada kalian mencari Lailatul Qadar, hendaknya dia mencarinya pada sepuluh malam terakhir daripada bulan Ramadan." (Muttafaq 'alaih).


Dalil al-Quran dan hadis tersebut petunjuk jelas keistimewaan Lailatul Qadar untuk dimanfaatkan sepenuhnya agar kita dapat menambah amalan kebaikan dalam suratan amalan masing-masing. Tempoh usia dianugerahkan Allah SWT kepada umat nabi Muhammad SAW tidak lama iaitu sekitar 6o tahun sahaja atau lebih sedikit. Maka dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT jualah kita semua dianugerahkan Lailatul Qadar yang amat istimewa ini. Dalam usaha mencari Lailatul Qadar, apakah sebenarnya yang perlu kita lakukan? Usah hanya mencari Lailatul Qadar dengan erti kata sekadar mencari. Malam tersebut perlu dimanfaatkan dengan amal ibadah. Lakukanlah sebanyak mungkin amal ibadah agar kita tidak terlepas daripada memperoleh keistimewaan Lailatul Qadar.


Oleh itu, usahlah terlalu memikirkan tarikh perayaan sebaliknya bermuhasabah dirilah kerana keistimewaan malam tersebut amat berharga dan perlu direbut sedaya upaya agar tidak termasuk dalam kalangan orang yang rugi. Kalaupun ada yang tidak berhasrat melipatgandakan amalan dalam memburu Lailatul Qadar, jangan pula melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT pada malam tersebut. Rasulullah SAW mengingatkan umatnya tentang Lailatul Qadar menerusi hadis baginda yang bermaksud:


Sesiapa yang menghidupkan Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran pahala, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (Muttafaq 'alaih).


Sumber: Harian Metro (10 April 2023).

Comments