PERBANYAKKAN SEDEKAH UNTUK BEROLEH GANJARAN YANG BERLIPAT GANDA


Di bulan Ramadan ini, ramai di antara umat Islam yang tidak melepaskan peluang untuk melakukan amal jariah iaitu bersedekah bagi beroleh ganjaran pahala yang berlipat ganda. Sedekah merupakan satu bentuk amalan berkongsi rezeki dengan orang lain. Salah satu amalan istimewa yang digalakkan oleh Allah SWT untuk meraih keuntungan berganda pada bulan Ramadan adalah melalui sedekah. Justeru, Islam amat menggalakkan umatnya untuk banyak bersedekah dan membantu orang yang susah dan golongan asnaf. Ini seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan untukmu." (QS al – Baqarah: 267).

Sedikit bantuan atau sumbangan yang kita hulurkan kepada golongan yang tidak berada, Allah SWT pasti akan menyediakan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda kepada kita. Ini kerana Allah SWT telah jelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: 

"Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang Muslim dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu membelanja-belanjakan (hartamu) secara membazir (boros)." (QS al – Isra’: 26).

Jelas bahawa Islam sering menganjurkan umatnya untuk banyak bersedekah. Ketahuilah bahawa kedermawanan adalah salah satu sifat Allah SWT, sebagaimana hadis Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Memberi, Allah mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia dan membenci perbuatan yang buruk." (HR Baihaqi).

Ketahuilah, Allah SWT benar-benar memuliakan orang yang bersedekah. Ia menjanjikan balasan yang menakjubkan bagi orang yang gemar bersedekah hingga 700 kali ganda jika di luar Ramadan. Ini seperti firmanNya:

"Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (QS al – Baqarah: 261).

Oleh itu, marilah kita menggunakan saki-baki Ramadan yang ada ini untuk melaksanakan amal jariah dalam bersedekah bagi memperoleh pahala yang berlipat ganda serta keberkatan dari Allah SWT dalam rezeki yang diusahakan oleh kita.

Sumber: Harian Metro (29 Mac 2023)


 

Comments