REBUTLAH 10 MALAM TERAKHIR DI BULAN RAMADAN ANUGERAH TERINDAH KURNIAAN ALLAH SWT


Hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi untuk kita mengejar 10 malam terakhir dalam bulan Ramadan yang dipanggil malam Lailatulqadar. Gambaran tentang keindahan Lailatulqadar yang sering meniti di bibir ulama dan yang terakam dalam karya penulisan mereka menjadi pemangkin kepada umat Islam berazam untuk bertemu dan menghayati keberkatan malam itu. Ini kerana kehebatan fadilat dan kepentingan malam kemuliaan itu, misi mencari dan memburu Lailatulqadar menjadi fokus utama sebahagian besar umat Muhammad SAW tatkala tibanya Ramadan.

Namun, malam al-Qadar ini tidak dinyatakan waktunya oleh Allah SWT dan juga tidak ditemukan secara jelas penetapan masanya di dalam al-Quran walaupun terdapat surah khusus, iaitu surah al-Qadr yang memperihalkan keistimewaan malam tersebut. Ternyata malam kemuliaan itu kekal menjadi rahsia Allah SWT yang perlu diburu dengan penuh keazaman bagi merasai kemanisan bertemu dengannya. Walau bagaimanapun, umat Islam boleh sahaja mencari malam tersebut berpandukan kepada beberapa hadis Rasulullah SAW. Baginda memberikan gambaran kepada umat Islam bahawa Lailatulqadar berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencari Lailatulqadar pada malam 10 terakhir (daripada Ramadan)." (HR Bukhari).

Bahkan dalam sebuah hadis lain, Baginda SAW juga turut bersabda:

"Sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan perhitungan maka diampunkan dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari).

Sewajarnya Lailatulqadar ini perlu diburu bersungguh-sungguh di samping memohon kekuatan daripada Allah SWT agar dikurniakan keafiatan untuk beribadat dan melakukan ketaatan sepanjang Ramadan yang mulia. Adalah menjadi satu kerugian sekiranya kita dikurniakan rezeki bertemu malam al-Qadar, tetapi kemuliaannya tidak dihayati dan tidak dijadikan medan beramal sebaik-baiknya bagi meraih habuan seperti dijanjikanNya. Lantaran itulah, penguasaan dan penghayatan ilmu amat penting bagi setiap Muslim untuk menghindarinya daripada ditimpa kerugian di dunia apatah lagi di akhirat sana.

Ketahuilah, Lailatulqadar adalah anugerah Allah SWT kepada umat kekasihNya, Nabi Muhammad SAW apabila ganjaran bagi hamba yang bertemu dan beramal pada sepanjang malam itu pahalanya jauh lebih besar daripada seribu bulan. Lailatulqadar hadiah berharga kurniaan Allah SWT yang tidak dikurniakan kepada umat terdahulu sebelum perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi terakhir. Oleh itu, rebutlah peluang ini dengan berusaha untuk menjalani ibadah dengan bersungguh-sungguh agar dosa kita diampuni oleh Allah SWT.

Sumber: Harian Metro (11 April 2023)


 

Comments