SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1444 HIJRAH HAYATILAH BULAN KEMENANGAN INI DENGAN PENUH KESYUKURAN DAN KEINSAFAN
Sambutan Aidilfitri yang sudah pun memasuki hari ketiga pada hari ini seharusnya disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan. Ini kerana telah banyak peristiwa yang berlaku di sepanjang Ramadan yang lalu yang seharusnya membuatkan kita merasa insaf dan syukur kerana Allah SWT masih lagi memberi kita peluang untuk bernafas dan seterusnya menyambut hari kemenangan ini.
Pengertian Aidilfitri perlu dihayati oleh umat Islam dengan penuh kesyukuran dan keinsafan agar sambutannya tidak menyimpang daripada makna sebenar iaitu meraikan kejayaan melawan hawa nafsu. Seharusnya Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam selepas menjalani ibadat puasa selama sebulan. Mengikut hukum syarak berjihad melawan hawa nafsu adalah perkara mulia dan menyambut hari raya juga adalah amalan mulia yang penuh dengan keberkatan. Hari raya adalah hari mulia dan jangan dicemari hari kemenangan ini dengan perkara yang bercanggah di sisi agama. Allah SWT berfirman:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memberitahu, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.” (QS Ibrahim: 7).
Dalam kita bergembira menyambut hari kemenangan ini, marilah kita perhatikan di sekeliling kita, apakah ada golongan yang kurang daripada kita? Maka patut dibantu. Ambillah ibrah dari keadaan persekitaran kita, tidak semua mampu menyambut Aidilfitri dalam keadaan yang gembira. Ada yang terpaksa berduka kerana kehilangan ahli keluarga pada bulan Ramadan yang lalu dan ada juga diuji dengan kehilangan dan kemusnahan harta benda. Kita sepatutnya bersyukur dan insaf akan perkara tersebut.
Oleh itu, marilah kita hayati hari kemenangan ini dengan penuh keinsafan. Bergembiralah dengan sanak-saudara dan ahli keluarga serta rakan-rakan dalam batas-batas dan kadaran yang dibenarkan oleh syarak.
Sumber: Harian Metro (29 April 2022)
Comments
Post a Comment