SEMARAKKANLAH RAMADAN KALI INI DENGAN ‘LADANG PAHALA’ YANG MELIMPAH – RUAH BUAT UMAT ISLAM

 

Berpuasa bukan sekadar menahan nafsu makan dan minum sahaja, tetapi juga kita perlu menjaga jiwa dan rohani kita agar sentiasa bersih. Agama Islam amat mementingkan hubungan silaturahim sesama Muslim. Tiada manusia di dunia ini boleh hidup bersendirian tanpa peranan orang lain. Justeru, setiap Muslim perlu mengelakkan diri daripada terlibat dalam konflik dari segi kehidupan bermasyarakat. 

Ramadan merupakan bulan dimuliakan dalam Islam. Umat Islam tanpa mengira bangsa, keturunan dan warna kulit berusaha melipatgandakan usaha untuk melaksanakan amal ibadah bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jika diperhatikan perkara yang menjadi ketetapan Islam bagi menjaga diri sepanjang Ramadan, ada banyak tuntutan Islam melibatkan penjagaan hubungan sesama manusia (hablum minan nas). Ini seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:

"Orang Mukmin bagi orang Mukmin yang lain itu laksana satu binaan, yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain." (HR Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, apa yang boleh kita lakukan untuk menggandakan amalan pahala puasa kita agar sentiasa melimpah – ruah bak ladang gandum dan tidak surut walau sedikit pun? Antara amalan pada bulan Ramadan yang boleh mengeratkan hubungan sesama Muslim ialah apabila kita dianjurkan untuk menjamu orang yang berpuasa ketika berbuka. Sabda Rasulullah SAW:

"Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang puasa untuk berbuka, maka baginya pahala sebagaimana pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun." (HR At – Tirmidzi).

Bukan itu sahaja, kita juga boleh mengadakan tadarus al-Quran. Tadarus al-Quran perlu dijadikan medan untuk kita memperbaiki bacaan al-Quran khususnya dari segi tajwid. Jangan pula al-Quran dibaca secara tergesa-gesa tanpa mengikut hukum bacaan yang betul semata-mata untuk cepat khatam. Sesungguhnya kita diperintahkan oleh Allah SWT untuk membaca al-Quran secara tartil iaitu mengikut cara bacaan yang tertib. Allah SWT berfirman:

"…dan bacalah al-Quran dengan tartil." (QS Al – Muzammil: 4).

Justeru, marilah sama-sama kita mengambil peluang Ramadan ini untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama manusia. Lihatlah keadaan sekeliling kita yang tidak pernah sunyi daripada berurusan dengan sanak-saudara, jiran tetangga, rakan sekerja, komuniti setempat serta orang ramai. Semuanya boleh menjadi 'ladang pahala' untuk diri yang sentiasa berusaha untuk melakukan kebaikan terhadap sesama manusia.

Sumber: Harian Metro (4 April 2023)


Comments