USAH ASYIK MENGEJAR PAHALA PUASA HINGGA TERLUPA MELAKSANAKAN RUKUN ISLAM KEEMPAT - LAKSANAKANLAH PEMBAYARAN ZAKAT FITRAH
Daripada Abu Abdurrahman Abdullah bin Umar bin Khatthab RA berkata, aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Islam dibangunkan atas lima perkara. (1) Persaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan Muhammad Rasul Allah, (2) mendirikan solat, (3) berpuasa di bulan Ramadan, (4) mengeluarkan zakat, dan (5) mengerjakan ibadah haji.” (HR Bukhari dan Muslim).
Mereka yang bergelar Muslim apabila disebut Ramadan, perkara pertama terlintas dalam benak fikiran adalah berkaitan satu daripada Rukun Islam iaitu kewajipan berpuasa pada sepanjang bulan itu. Namun, terdapat satu lagi Rukun Islam yang wajib ditunaikan pada Ramadan iaitu mengeluarkan zakat. Mengeluarkan zakat di sini merujuk kepada zakat fitrah (zakat badaniyyah). Zakat fitrah adalah fardu ain yang wajib dilaksanakan pada Ramadan bertujuan membersih dan menyucikan jiwa golongan berpuasa daripada perkara sia-sia dan seterusnya bayaran fitrah itu dapat digunakan untuk membantu fakir serta miskin membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Kewajipan mengeluarkan zakat fitrah ini adalah berdasarkan hadis baginda Rasulullah SAW yang dinyatakan oleh Ibnu Umar RA bermaksud:
"Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada setiap Ramadan kepada umat Islam iaitu sebanyak satu saa' (gantang) gandum. Kewajipan itu dikenakan pada keseluruhan orang Islam, merdeka ataupun hamba, lelaki ataupun wanita." (HR Muslim).
Sebenarnya, ramai pembayar zakat beranggapan, apabila mereka menunaikan zakat ke atas harta mereka, Allah SWT akan memudahkan dan memperluaskan rezeki masing-masing. Namun persoalan itu telah pun dijawab oleh Allah SWT melalui al – Quran di dalam surah At – Taubah, ayat 103 yang bermaksud:
"Ambillah zakat dari harta mereka, guna membersihkan dan menyucikan mereka, dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu (menumbuhkan) ketenteraman jiwa bagi mereka. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui."
Seorang Muslim dituntut melaksanakan ibadah zakat bukanlah untuk dimurahkan rezeki, maju dalam perniagaan atau menjadi kaya. Sebaliknya, tujuan pelaksanaan ibadah zakat adalah berkait dengan membersihkan harta dan menyucikan jiwa. Daripada ayat di atas kita dapat ketahui bahawa setiap Muslim yang tidak melaksanakan ibadah zakat (setelah memenuhi semua rukun zakat) akan melahirkan sifat bakhil di dalam diri. Kehidupannya juga akan jauh daripada nilai agama kerana dalam hatinya mula timbul sifat cintakan dunia.
Oleh itu, dalam kita mengejar pahala dan ganjaran daripada ibadah puasa yang kita lakukan, jangan pula kita lupa tentang ibadah zakat yang wajib kita laksanakan. Ramadan bukan sahaja difardukan untuk umat Islam berpuasa, malah terdapat kefarduan lain iaitu mengeluarkan zakat fitrah. Ia perlu dilunaskan untuk menjamin kesempurnaan ibadah puasa seseorang sekali gus menyucikan jiwa pengeluar zakat.
Sumber: Kolum Agama, Sinarplus @ Sinar Harian (29 Oktober 2021)
Comments
Post a Comment