Sejak kebelakangan ini, begitu banyak sekali video yang tular di semua platform media sosial tentang gelagat sebahagian wanita yang tidak boleh berpuasa tetapi makan di khalayak ramai. Astaghfirullahalazim! Wahai para kaum hawa, di mana sifat malu kalian semua?! Walaupun mempunyai alasan uzur syari’e itu tidak bermakna kita semua boleh melakukan perkara yang dilarang agama.
Ketahuilah, Islam amat menyanjung tinggi sifat malu, hinggakan ia menjadi antara cabang iman yang seharusnya terterap utuh dalam diri setiap kalangan Mukmin. Sifat malu sebenarnya termasuk dalam kategori akhlak mulia yang sepatutnya dimiliki. Zaid bin Abu Talhah ada memberitahu bahawa Baginda SAW pernah berpesan yang sabdanya:
"Setiap agama memiliki akhlak dan akhlak (utama agama) Islam adalah malu." (HR Ibnu Majah).
Bahkan, Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan umatnya dalam sabdanya:
"Sesungguhnya rasa malu dan keimanan, kedua-duanya dijadikan sepasang. Jika salah satunya dihilangkan, yang lain juga dihilangkan." (HR Imam Hakim).
Berdasarkan hadis di atas, sudah jelas dan nyata betapa pentingnya sifat malu berbuat maksiat dan dosa-dosa lainnya kepada Allah SWT mahupun yang bertentangan dengan nilai norma masyarakat. Jika dilihat pada hari ini, semakin ramai umat manusia khususnya umat Islam yang telah hilang sifat malunya bukan sahaja kepada manusia tetapi juga kepada Allah SWT. Adakah kita mahu menunggu bala ataupun azab daripada Allah SWT baru kita mahu bertaubat?!
Buat kaum wanita khususnya para Muslimah, peliharalah rasa malu anda semua. Alasan uzur syari’e bukanlah tiket untuk anda semua makan di khalayak ramai. Sebagai seorang wanita kita juga tidak terlepas dari melakukan dosa tapi ia bukanlah suatu perkara untuk dibangga – banggakan. Tahukah kita semua apabila kita bangga melakukan dosa seperti makan di khalayak ramai di bulan puasa sama juga ibarat kita berjalan seperti bertelanjang bulat?
Peliharalah maruahmu wahai kaum hawa, malu itu perisai dan kehormatan kepada Muslimah. Dengan wujudnya rasa malu akan membuatkan kita berasa tidak selesa hidup dengan perbuatan maksiat dan dosa. Lantas, bersebabkan jiwa rasa malu kepada Allah itulah akan menghalakan diri kita untuk sentiasa menjalani kehidupan atas landasan benar yang dikehendaki Allah SWT dan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Sifat malu ini adalah sebahagian daripada fitrah seorang wanita yang mendorong mereka untuk memelihara kehormatan dirinya dan batas pergaulan apabila berhadapan khalayak masyarakat. Sifat itu juga membantu mereka menghindarkan diri daripada perkara negatif. Malu bukan kerana kekurangan atau kelemahan diri di mata manusia sahaja, tetapi malu tanda iman kepada Allah SWT yang menyebabkan kita sentiasa ingin melakukan amalan yang diredai Allah SWT.
Sumber: Berita Harian (3 Februari 2015)
Comments
Post a Comment