AIDILFITRI ADALAH BULAN KEMENANGAN BAGI UMAT ISLAM TETAPI JANGAN DICEMARI DENGAN AKTIVITI PEMBAZIRAN
Aidilfitri ini menandakan Ramadan bulan pentarbiahan dan pembersihan jiwa umat Islam telah pun berakhir. Menurut Ibn Rajab al-Hanbaliy dalam Kitab Lata'if al-Ma'arif, pada waktu sebegini para salaf al-soleh akan sentiasa berdoa dan berharap kepada Allah SWT agar segala amalan yang mereka telah lakukan di sepanjang Ramadan diterima oleh Allah SWT. Di samping itu, mereka juga sentiasa berdoa agar Allah SWT memberikan lagi kesempatan dan peluang untuk bertemu kembali dengan Ramadan pada tahun berikutnya.
Aidilfitri merupakan hari kemenangan bagi seluruh umat Islam, hasil daripada mujahadah (usaha kuat) mereka selama sebulan melawan hasutan hawa nafsu. Dalam keghairahan umat Islam membuat berbagai-bagai persiapan untuk menyambut ketibaan Syawal, mereka tidak seharusnya lalai dan leka sehinggakan melanggari etika berbelanja sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam. Disebabkan terlalu gembira yang tidak bertapak atas keimanan yang kuat, barangkali membuatkan segelintir umat Islam tidak menyedari bahawa mereka telah melanggar etika murni yang ditetapkan oleh Islam iaitu boros dalam perbelanjaan. Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya." (QS Al – Isra’: 27).
Pemborosan seringkali dilakukan ketika membuat persiapan menyambut Aidilfitri dan juga ketika mengadakan persiapan rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri. Walaupun ada suara – suara yang mengatakan “alah, setahun sekali saja”, hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai suatu pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang.
Kita perlu sedar bahawa Ramadan yang telah dilalui itu banyak mendidik kita agar sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja. Berbekalkan didikan yang diterima sepanjang Ramadan ini, kita perlu berusaha untuk memanfaatkannya bagi mengharungi kehidupan dalam sebelas bulan yang akan datang. Islam telah mengajarkan umatnya tatacara berbelanja dengan betul, iaitu berbelanja secara sederhana dan tidak boros.
Alangkah baiknya jika kita meninggalkan amalan pemborosan yang keji itu dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah. Sedikit bantuan atau sumbangan yang kita hulurkan kepada golongan yang tidak berada, ada disediakan ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Mereka juga akan menghargai pemberian itu dan merasakan kita sentiasa mengingati mereka. Amalan sebegini secara tidak langsung akan menggambarkan tujuan sebenar perayaan Aidilfitri, seterusnya melahirkan sebuah masyarakat penyayang dan berwawasan.
Maka dari itu, hayatilah sambutan Aidilfitri kali ini dalam keadaan yang sederhana dan banyakkanlah amalan kita dengan bersedekah daripada membazir. Teruskanlah amalan mulia kita di bulan Ramadan ke bulan – bulan yang seterusnya agar kita semua diredhai oleh Allah SWT.
Sumber: Harian Metro (24 April 2023)
Comments
Post a Comment