ANCAMAN BOM BUATAN TANGAN DI LEMBAH KLANG!!! CUBAAN MENAKUTKAN MASYARAKAT AWAM ADALAH SATU BENTUK KEGANASAN


Baru-baru ini gempar di Lembah Klang dengan penemuan bom buatan tangan yang boleh diakses melalui alat kawalan jauh berdekatan dengan sebuah kedai. Walaupun tidak ada sebarang letupan terjadi, namun perbuatan ini jelas menunjukkan satu cubaan untuk mendatangkan ancaman dan ketakutan kepada masyarakat awam. 


Sungguhpun tidak ada mana-mana pihak yang tampil bertanggungjawab atas perbuatan tersebut, namun satu langkah pembendungan perlu dijalankan. Disebabkan Malaysia pernah mengalami ancaman keganasan suatu ketika dahulu, maka kegusaran ancaman dari pihak-pihak yang bermotifkan sama ada politik, bangsa mahupun agama perlu disiasat seluruhnya sebelum kumpulan-kumpulan tersebut muncul dengan serangan yang lebih berani. 


Ada ruang bertindih yang besar antara jenayah dan keganasan. Keganasan lazimnya mempunyai sifat istimewa berbeza dengan jenayah biasa. Antaranya ia didorong oleh ideologi yang tegar dan tidak bertoleransi, bukan keuntungan kewangan, kemarahan atau dendam. Keganasan lebih berbahaya kerana ia menyerang cara hidup kita dan berusaha menghancurkan nilai-nilai asas yang mana kita menganggap sebagai nilai-nilai yang membentuk intipati demokrasi dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka dengan ini jelas bahawa, penemuan bom buatan tangan itu tanpa ada apa-apa keuntungan yang didapati oleh pihak yang mengugut melainkan untuk memberi ancaman dan ketakutan kepada masyarakat awam selari dengan definisi keganasan.


Justeru itu, semua pihak berwajib perlu memainkan peranan dan membentuk langkah berjaga-jaga pada tahap maksima dalam menghadapi ancaman-ancaman keganasan di dalam negara seterusnya memastikan keselamatan negara terjamin. Begitu juga dengan masyarakat awam, janganlah terpengaruh dengan mana-mana ideologi yang mengajak ke arah perbuatan keganasan, sesungguhnya perbuatan tersebut telah menyalahi normalisasi dalam kehidupan masyarakat yang harmoni yang menyanjung ketamadunan sebuah peradaban.


Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia, Malaysian Journal of History, Politics & Strategic Studies, Vol 46(2) – UKM dan Berita Harian – 2 MEI 2023

Comments