BERIMAN DAN BERTAKWALAH KEPADA ALLAH SWT NESCAYA ALLAH AKAN MENAMBAHKAN REZEKI DAN KENIKMATAN DI DALAM HIDUP


Setiap umat Islam di dunia ini sudah ditetapkan keimanannya berlandaskan kepada agama, Tuhan dan pesuruhNya. Ini seperti yang termaktub di dalam Rukun Iman yang pertama iaitu beriman kepada Allah SWT. Allah SWT adalah pencipta dan pemilik mutlak sumber alam yang wujud ini. Sumber alam yang diciptakan oleh Allah SWT itu sangat luas. Ini dapat dibuktikan melalui firman Allah SWT dalam surah al – A’raf, ayat 96 yang bermaksud:

"Dan (Tuhan berfirman lagi): 'Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi, mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka usahakan." 

Allah SWT telah berjanji, barangsiapa dari kalangan hambaNya yang sentiasa beriman dan bertakwa kepadaNya, nescaya Allah SWT akan menambahkan lagi kenikmatan hidupnya di dunia mahupun di akhirat. Allah SWT juga telah berjanji akan menambahkan lagi rezeki kepada orang yang beriman dan bertakwa kepadaNya. Dalam perkataan lain, sumber alam akan tumbuh dan berkembang serta semakin bertambah jika penggunanya beriman serta bertakwa kepada Allah SWT. Rezeki yang bertambah-tambah daripada Allah SWT ini yang dikatakan rezeki yang barakah (berkat). Dalam al-Mufaradat fi Gharib al-Quran, al-Raghib al-Asfahaniy menyatakan barakah bermaksud berkembang dan bertambah. Ia adalah kebaikan yang ditentukan oleh Allah SWT dalam sesuatu perkara.

Kunci utama untuk mendapatkan rezeki yang barakah daripada Allah SWT ini ialah iman dan takwa. Keimanan kepada Allah SWT adalah kebebasan daripada memperhambakan diri kepada hawa nafsu dan kepada sesama manusia atau makhluk, manakala ketakwaan pula ialah melakukan segala perkara yang perintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya. Sebenarnya ketakwaan ini dapat mengawal segala kegiatan manusia agar mereka tidak melakukan tindakan yang keterlaluan, liar, menyeleweng, sombong dan angkuh.

Oleh itu, beriman dan bertakwalah kepada Allah SWT kerana Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Penyayang. Dia menyayangi hambaNya dan sentiasa mahukan hambaNya berbuat baik dan mempunyai keimanan yang utuh sebagai seorang Muslim. Sabda Rasulullah SAW:

 "Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta dunia, tetapi kekayaan yang hakiki itu adalah kaya jiwa." (HR Muslim).

Sumber: Harian Metro (19 Mei 2023).


 

Comments