FENOMENA EL NINO DAN SUHU PANAS MELAMPAU BERSABARLAH DENGAN UJIAN ALLAH DAN RENUNGKAN IBRAH TENTANG GAMBARAN HARI AKHIRAT
Pada ketika ini, Malaysia sedang berhadapan dengan cuaca yang sangat panas di beberapa buah negeri. Malah ada di antara kita yang sudah pun terkena strok haba akibat cuaca panas yang melampau bahkan ada juga yang meninggal dunia akibat daripada kesan kepanasan tersebut. Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan terdapat beberapa kawasan dengan status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga.
Sebagai Muslim, seharusnya kita melihat keadaan yang berlaku ini dengan mata hati, di mana Allah SWT sentiasa menguji hambanya untuk terus bersabar demi mengharungi kehidupan yang bersifat sementara ini. Kita turut disuruh untuk mengingatkan diri kita tentang kehidupan kekal abadi adalah 'di sana' yang tiada jalan kembali lagi selepas itu. Allah SWT berfirman:
"Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal." (QS al – Ghafir: 39).
Bukan sahaja Allah SWT mahu kita bersabar, bahkan Allah SWT mahu kita sebagai hambaNya merenung dengan mengaitkan cuaca panas begini dengan keadaan akhirat yang begitu dahsyat bermula sahaja seseorang berada di dalam kubur, kemudian menuju ke Mahsyar dan destinasi terakhir buat seseorang pendosa dan kafir kepadaNya, iaitu neraka. Ia sinonim dengan panas, terik, haba, bahang dan sifatnya membakar.
Maka dari itu, kita seharusnya merasa insaf dalam mengharungi musim cuaca panas yang melampau ini dan banyakkan berdoa kepada Allah SWT agar diberi kekuatan untuk mengharunginya. Walau apa juga ujian yang melanda kehidupan sepanjang tempoh ini atau mungkin pada masa depan, Allah SWT ingin mengajar kita semua mengenai sesuatu dan setiap apa yang berlaku pasti mempunyai hikmah daripada Yang Esa. Sesiapa yang ditimpa sesuatu musibah perlu diingatkan supaya bersangka baik dengan Allah, memperbanyakkan doa, berikhtiar, bertawakal dan bersabar.
Sebagai manusia yang bergelar hamba, pastinya kita tidak terlepas dalam melakukan kesilapan atau dosa. Namun, Rasulullah SAW mengingatkan kepada kita semua supaya sentiasa bersabar, berusaha mengubati penyakit dan bertawakal selepas segala ikhtiar dilaksanakan. Rasulullah SAW menggunakan perkataan ‘musibah’ dalam doa itu yang mafhumnya:
“Ya Allah, berilah ganjaran terhadap musibah yang menimpaku dan berilah ganti dengan yang lebih baik.” (HR Muslim).
Apa yang dapat kita ambil pengajaran dan iktibar di sini ialah bandingan dua kehidupan, iaitu dunia dan akhirat adalah tidak sama. Dunia hanya tempat persinggahan sahaja, tetapi akhirat merupakan matlamat terakhir, sama ada menuju ke syurga mahupun neraka. Oleh itu, sentiasa berdoa kepada Allah SWT untuk memohon perlindungan, memperkuatkan iman, sentiasa berpandangan baik kepada Allah dalam setiap ketentuanNya.
Sumber: Harian Metro (8 Mei 2023)
Comments
Post a Comment