GOLONGAN ATEIS PERLU HAYATI SIRAH NABI BAGI MENGAMBIL IKTIBAR AZAB GOLONGAN TERDAHULU YANG TIDAK MENGAKUI KEWUJUDAN TUHAN


Bagi seorang muslim, kewujudan Tuhan tidak menjadi isu kerana keimanan kepada Allah, Tuhan sekalian alam merupakan rukun pertama dalam Rukun Iman. Walaupun manusia tidak dapat melihat Tuhan dengan pancaindera, namun sebagai umat Islam meyakini kewujudan Tuhan melalui ayat-ayat al-Quran yang diturunkanNya dan juga melalui pengamatan kepada kejadian alam dan manusia. Wahyu dan akal dikurniakan Tuhan digunakan secara seiringan dalam menghayati keagungan dan kekuasaanNya, seterusnya mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Namun, kita menyedari bahawa masih ramai insan di dunia ini yang tidak mengakui atau meragui kewujudan Tuhan, terutamanya dalam kalangan mereka yang tidak beragama iaitu ateis. Melalui sirah nabi terdahulu boleh dijadikan iktibar bagaimana para nabi dan rasul terdahulu menghadapi golongan yang menolak kewujudan Tuhan, malah lebih teruk lagi mengaku menjadi Tuhan.

Sebagai contoh, Nabi Ibrahim a.s berhadapan dengan Raja Namrud pemerintah Babylon yang menganggap dirinya Tuhan. Nabi Ibrahim berdialog dengan Namrud dan mengajaknya berfikir tentang kewujudan Tuhan. Namun, tidak kekerasan hatinya tidak mengendahkan kata-kata nabi. Begitu juga dengan Nabi Musa a.s yang berhadapan dengan Firaun, Raja Mesir yang mengaku dirinya adalah Tuhan. Nabi Musa a.s menunjukkan mukjizatnya berupa tongkat baginda yang boleh bertukar menjadi ular yang besar dan menelan ular-ular kecil kepunyaan ahli-ahli sihir Firaun.

Mukjizat ini secara tidak langsung telah menyedarkan ahli-ahli sihir tersebut akan kewujudan Tuhan dan membawa mereka kepada keimanan kepada Allah SWT. Malah Firaun sendiri sebelum ditenggelamkan di dalam Laut Merah, beliau sempat mengakui akan kewujudan Tuhan. Namun sudah terlambat untuk beliau bertaubat dan beliau bersama bala tenteranya mati dalam kehinaan.

Justeru itu, golongan ateis yang nampaknya semakin menunjukkan bilangan yang besar terutamanya di Malaysia seharusnya mengambil iktibar dari kisah-kisah terdahulu di zaman nabi. Kewujudan Tuhan boleh dibuktikan jika akal digunakan sebaiknya. Maka, bukalah minda dan hati untuk mencari kebenaran. Janganlah meletakkan persepsi terlebih dahulu sebelum kamu benar-benar mencari kebenarannya. Kelak, pasti hidayah itu akan datang padamu. 

Sumber: Pertubuhan IKRAM Malaysia


 

Comments