HIBURAN BUDAYA BARAT BANYAK TERKAIT DENGAN AJARAN SONGSANG JANGAN SAMPAI UMAT ISLAM TERJERUMUS KE LEMBAH KESESATAN
Setiap manusia di muka bumi ini telah terlahir secara lahiriah untuk mempunyai rasa ingin berhibur, termasuklah umat Islam. Namun, dalam kita seronok berhibur jangan pula kita terleka dan tersesat dengan hiburan yang berunsurkan maksiat dan kesesatan. Hari ini semakin banyak hiburan yang melalaikan berlaku di sekeliling kita dan umat Islam juga turut terkena tempiasnya. Banyak sekali konsert hiburan dari negara – negara barat yang masuk di negara ini dan umat Islam seronok berhibur dengannya.
Apa yang membimbangkan adalah aliran yang dibawa hiburan barat ini kebanyakannya berunsurkan maksiat dan kesesatan. Kita sudah banyak dipertontonkan oleh media – media massa bagaimana cara hiburan barat ini dipersembahkan, ada yang berunsurkan seks bebas, penggunaan bahan – bahan terlarang sebelum dan semasa melakukan konsert serta penggunaan alkohol yang berlebihan. Tidak kurang juga ada yang menyelitkan ideologi songsang di dalam lagu – lagu mereka dan secara sengaja menyerapkan ‘hiburan’ tersebut ke dalam diri umat Islam sehingga lalai. Firman Allah SWT:
“Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.” (QS Luqman: 6).
Antara hiburan yang perlu difahami oleh umat Islam adalah melalui ciri – ciri seperti berikut:
1) Lagu dan senikata lagu atau hiburan tersebut mestilah tidak melalaikan, tidak bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam, tiada unsur maksiat seperti memuja kecantikan wanita, menganjurkan hubungan bebas muda-mudi dan perlanggaran syariat.
2) Tidak melalaikan dan berlebih-lebihan dalam berhibur sehingga hak-hak Allah dan kewajipan yang lain terabai.
3) Tiada percampuran di antara lelaki dan wanita ajnabi dalam berhibur.
Ingatlah, Islam tidak menyekat umatnya mencari hiburan selagi mana tidak keluar daripada batas syarak dan tidak lalai daripada melaksanakan perintah agama. Kesederhanaan sangat penting dalam usaha mencari hiburan. Hiburan dalam Islam adalah suatu yang menenangkan dan mendidik jiwa. Bahkan melakukannya bukan hanya semata-mata untuk mencari keseronokan dan memenuhi runtunan nafsu tanpa batasan.
Konsep berhibur dalam Islam adalah dengan tujuan untuk membangunkan dan mendamaikan jiwa, menenangkan fikiran dan merehatkan rohani serta jasmani. Bukanlah semata – mata kepuasan nafsu sendiri hingga menyebabkan ramai umat Islam terjerumus ke dalam lembah kesesatan.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment