ISU LAUNGAN AZAN DI PULAU PINANG - HAK UMAT ISLAM SELAKU GOLONGAN MAJORITI WAJAR DIAMBIL BERAT

 

Walaupun isu kontroversi laungan azan menggunakan pembesar suara di Tanjong Tokong, Pulau Pinang sudah pun selesai dan tidak perlu disensasikan lagi, namun sebagai umat Islam wajar untuk kita ketahui hak kita sebagai umat Islam dan selaku golongan majoriti di negara ini. Seperti yang kita semua tahu bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan sebagaimana yang tertera dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Akan tetapi, keadaan seakan sudah terbalik apabila agama rasmi Persekutuan seperti dinafikan haknya oleh agama – agama minoriti. 

Perkara ini bukanlah suatu perkara yang baru kerana sebelum ini sudah banyak kontroversi berkaitan laungan azan diperhebohkan. Bahkan ada di antaranya sudah menjadi kes polis kerana dikatakan mengganggu kenteraman awam. Perlu kita sedar, bahawa laungan azan adalah antara elemen penting dalam Islam, dan menjadi salah satu elemen penting dalam maksud ‘Malaysia’. Walaupun di Pulau Pinang sudah diputuskan tentang larangan penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri pada Julai 2015, bagaimanapun keputusan ini tidak diwartakan sebaliknya diserah kepada budi bicara jawatankuasa kariah bagi mempertimbangkan sama ada keputusan berkenaan sesuai dilaksana di masjid atau surau masing-masing.

Namun sebagai agama rasmi Persekutuan, Islam perlu mempunyai lebih banyak hak keistimewaan terutama sekali dalam hak laungan azan sebagai simbolik tanda untuk menyeru umat Islam melaksanakan ibadah harian mereka. Ini kerana ia dilihat bukanlah satu gangguan yang berat melainkan ia sebuah seruan keagamaan dan sama sekali tidak mengganggu ketenteraman awam. Azan ini membabitkan syiar Islam jadi mengapa ada pihak – pihak yang tidak berkenaan menimbulkan isu ini secara besar – besaran?

Ingatlah, rujuk sebagaimana yang tertera di Perlembagaan Persekutuan tentang hak agama Rasmi Persekutuan Malaysia. Hormati azan disebabkan keistimewaan kedudukan agama ini di Malaysia atau mana-mana negara yang mengagungkan Islam sebagai agama negara itu. 

Sumber: Harian Metro (16 Mei 2023)


Comments