ISU PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH DI KALANGAN BUKAN ISLAM PELIHARALAH MARTABAT SANG PENCIPTA YANG MAHA AGUNG
Pertamanya, artikel ini bukanlah mahu memecahbelahkan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia yang berbilang kaum, jauh sekali ingin melibatkan unsur-unsur politik di dalamnya. Akan tetapi, artikel ini bertujuan untuk mendidik masyarakat agar lebih menghormati hak keagamaan umat Islam yang juga kaum majoriti di negara ini. Ramai yang menganggap bahawa penggunaan kalimah Allah SWT ini hanya ‘perkara remeh’ kerana cuma penggunaannya sahaja, namun bagi umat Islam ia sebuah kalimah suci yang dikhususkan buat para Muslim kerana kita menggunakannya dalam kehidupan seharian kita seperti bacaan dalam solat dan juga berzikir.
Isu penggunaan kalimah Allah SWT dalam kalangan orang bukan Islam ini bukanlah satu perkara yang baru, malah ia sudah dicanang sejak bertahun lamanya. Walaupun ada video penjelasan mengenai percanggahan arahan pentadbiran dahulu atas alasan percetakan dan multimedia, namun pada hakikatnya penggunaan kalimah Allah itu hanya untuk orang Islam sahaja. Ini seperti yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) dalam isu penggunaan kalimah 'Allah' yang dikeluarkan pada tahun 2008 dan selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Ini penting bagi memelihara kesucian nama Allah daripada sebarang bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan kalimah Allah yang sepatutnya hanya merujuk kepada 'Allah SWT yang Maha Esa'. Fatwa mengenai penggunaan kalimah 'Allah' hanya merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dalam agama Islam sahaja pada 2010.
Oleh itu, langkah terbaik bagi kita sebagai umat Islam adalah dengan memelihara nama Allah SWT ini dengan sebaik mungkin daripada disalahguna oleh pihak – pihak yang tidak bertanggungjawab. Perkara ini bukanlah sesuatu yang boleh dibuat permainan kerana ia dianggap sebagai mempersendakan Tuhan yang Maha Agung bagi umat Islam. Allah SWT berfirman:
"Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari Akhirat kelak daripada orang yang rugi." (QS Ali ‘Imran: 85).
Oleh itu, sebaik-baiknya isu berkenaan juga perlu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja memandangkan Duli Tuanku adalah ketua agama Islam di negeri masing-masing manakala Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong adalah ketua agama di negeri yang tiada Raja atau Sultan. Ini kerana tidak wajar isu yang sensitif ini disentuh oleh mana-mana pihak dengan apa alasan sekalipun demi memelihara suasana harmoni dalam hubungan antara sesama warga Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum yang berbeza agama, keturunan dan budaya. Urusan agama Islam biarlah diuruskan oleh mereka yang arif dan dilantik dan tidak layak disentuh oleh mana – mana pihak yang tidak berkenaan. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al – Kafirun ayat 6 yang bermaksud:
“"Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".
Sumber: Harian Metro (16 Mei 2023)
Comments
Post a Comment