JANGAN SOMBONG DENGAN ALLAH SWT!! BERSIKAP BAIK DAN BERDOALAH AGAR BEROLEH KEBERKATAN DALAM HIDUP

 

Kita mahukan yang terbaik dalam hidup kita, tetapi adakah kita bersikap baik dengan Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang? Kita mahukan itu dan ini, kita berusaha tetapi apakah kita bertawakal kepada Allah dengan berdoa dan meletakkan segala – galanya ke dalam tanganNya? Apabila usaha yang dikerjakan itu tidak berhasil, maka mulalah kita menyalahkan takdir dan Allah SWT. Jangan begitu, jangan kita sesekali berlaku sombong terhadap Allah SWT.

Sikap sombong merupakan satu sikap yang amat dilarang keras dalam Islam. Firman Allah SWT di dalam al - Quran: 

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.” (QS al – Isra’: 37).

Ingatlah, hanya Allah SWT yang mampu memenuhi segala kehendak manusia. Dia Tuhan Maha Agung, Maha Kuasa, Maha Kaya, Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada setiap mahklukNya. Allah SWT berfirman:

“Berdoalah kamu kepada-KU nescaya AKU perkenankan doa permohonan kamu.” (QS al-Ghafir: 60).

Sesungguhnya, berdoa kepada Allah SWT, manusia tidak akan sesekali rugi. Jika kita mendapat perkara yang dipohon, maka ia adalah satu keberuntungan. Bagaimanapun, jika tidak diberi sekalipun, ia juga satu keuntungan kerana akan diganti dengan pahala memandangkan berdoa adalah satu ibadah. Perkara yang diminta itu akan diberi pada hari akhirat kelak. 

Jangan sesekali mempamerkan sikap sombong kita kepada Allah SWT, kita cuma makhlukNya yang kerdil yang sentiasa mengharap bantuanNya apabila ditimpa kesusahan. Berdoalah kepada Allah SWT agar hidup kita sentiasa dalam kerahmatan dan keberkatanNya.

Sumber: Sinarplus @ Sinar Harian (29 Januari 2021).


Comments