KONTROVERSI PENGANJURAN PARTI “GANG BANG” DI JOHOR BAHRU - CUBAAN UNTUK MENGGALAKKAN UMAT ISLAM TERJERUMUS KE LEMBAH MAKSIAT
Malaysia sekali lagi dilanda kontroversi yang tidak berkesudahan, kali ini timbulnya satu penganjuran sebuah parti yang dipanggil “Gang Bang JB Party” yang akan diadakan pada 20 Jun ini. Meskipun penganjuran parti ini telah mendapat arahan pembatalan daripada pihak berkuasa, tetapi ia adalah satu musibah kepada umat Islam khususnya rakyat negeri Johor yang terkenal dengan pegangan Islam yang kuat sekiranya ada pihak yang tetap meneruskan. Tidakkah kita melihat bahawa ini akan menjadi satu petanda keruntuhan moral di kalangan umat Islam? Dan ini juga merupakan salah satu petanda hampirnya kiamat. Rasulullah SAW bersabda:
"Hari kiamat tidak akan terjadi sehinggalah berlaku ilmu diangkat, kebodohan meningkat, khamr (minuman keras) diminum, zina bermaharajalela, rosaknya lelaki, wanita semakin ramai berbanding lelaki..." (HR Bukhari).
Ini boleh menjadi satu bala kerana adanya cubaan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menggalakkan umat Islam terjerumus ke lembah maksiat dengan melakukan seks bebas. Sebagai umat Islam, sudah tentu kita mengetahui betapa bahayanya pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram kerana dikhuatiri akan menghampiri kepada dosa zina. Bukankah di dalam al – Quran, Allah SWT telah melarang hambaNya untuk mendekati zina? Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (QS al – Isra: 32).
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekurang-kurangnya purata 10 kes buang bayi dilaporkan dalam tempoh sebulan sejak lima tahun lalu bermula 2018 hingga 2021. Bermula pada tahun 2018, mencatatkan 128 kes pembuangan bayi diikuti 125 kes (2019), 104 kes (2020) dan 86 kes pada tahun 2021. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes buang bayi bagi tempoh lima tahun itu adalah sebanyak 443 kes. Manakala satu kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) pada tahun 2019, lebih satu juta kes baru penyakit kelamin (STI) dikesan setiap hari. Tidakkah ia suatu angka yang menakutkan? Adakah kita sebagai umat Islam mahu tergolong dalam angka tersebut?
Jangan sesekali menghampiri pergaulan bebas apatah lagi zina. Penganjuran parti ini adalah cubaan jahat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memancing umat Islam agar terpesong akidahnya dan terjerumus ke dalam lembah maksiat dan dosa. Jagalah hati dan iman kita dan sentiasalah berdoa agar Allah SWT menjaga diri dan iman kita daripada dosa – dosa besar ini.
Sumber: Harian Metro (9 Julai 2020).
Comments
Post a Comment