KONTROVERSI PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH HORMATILAH HAK SESAMA AGAMA, JANGANLAH MELAMPAUI BATAS SEHINGGA BOLEH MENCETUSKAN ANCAMAN KETIDAKHARMONIAN DI DALAM NEGARA


Sudah acap kali isu penggunaan Kalimah Allah oleh orang bukan Islam sering menjadi pencetus kepada situasi ketidakselesaan dalam masyarakat. biarpun tidak ada lagi demonstrasi jalanan mahupun sebarang aktiviti secara fizikal di luar kawalan, namun perkara ini telah menjadi perbahasan hangat di sosial media yang memungkinkan untuk mencetuskan suasana tidak aman dalam masyarakat berbilang kaum. Persoalannya, mengapa dari dahulu sehingga kini hanya golongan ‘Kristian Evangelis’ yang beria mempersoalkan isu penggunaan kalimah Allah ini tanpa putus asa, tetapi tidak agama lain? Mengapa kenyataan balas dari pihak berwajib juga tidak jelas sehingga boleh menimbulkan kekeliruan khususnya dalam kalangan masyarakat awam? 

Kelompok yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan nama Allah kemudian mengenakan syarat kepada orang bukan Islam supaya tidak menyalahgunakan kebenaran tersebut sebenarnya telah membuka ruang bagi pihak bukan Islam untuk menyalahgunakannya. Apabila perkataan Allah cuba diterima pakai oleh orang bukan Islam yang merujuk kepada tuhannya maka ia menunjukkan kebenaran dakwaan mereka bahawa semua agama pada hakikatnya sama, menyembah Tuhan yang sama. Maka disini tidak syak lagi memudahkan proses Kristianisasi orang-orang Islam yang pada hari ini telah berjaya memurtadkan terutamanya golongan belia di negara ini.

Bagi umat Islam, ia adalah satu kerugian yang sangat besar. Islam tidak akan rugi, berkurang, atau menjadi rendah kerana hal ini, tetapi umat Islam yang akan semakin terhimpit. Kefahaman masyarakat terhadap akidah Islam akan semakin menipis, kekeliruan akan semakin bertambah. Deislamisasi (usaha atau tindakan yang bertentangan dengan ajaran Islam) banyak berlaku disebabkan oleh penyalahtafsiran terhadap sesuatu makna. Sepertimana pada ketika ini, nama Allah cuba didangkalkan maknanya supaya bermaksud Tuhan iaitu yang merujuk jua kepada Tuhan agama lain selain Islam.

Oleh itu, jelaslah bahawa isu nama Allah ini adalah isu yang serius yang terkait dengan masalah akidah dan ianya tidak boleh diambil ringan atau diperkecilkan walaupun dengan apa jua alasan. Penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam di negara ini bagi merujuk kepada Tuhan mereka adalah suatu yang tidak wajar dan bukan merupakan hak mereka sebaliknya merupakan tanggungjawab mereka untuk menghormati penggunaan nama Allah yang benar oleh umat Islam. Maka ia menjadi tanggungjawab umat Islam untuk melindunginya daripada dicemari.  Justeru itu, hormatilah sesama agama, janganlah melampaui batas atas alasan mempunyai hak kebebasan, kelak ianya kan mengeruhkan lagi keharmonian dalam masyarakat dan dikhuatiri boleh mencetuskan ancaman keselamatan di dalam negara. 

Sumber:  Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan –MEI 2023, Twitter @asratmalaysia, Berita Harian- 16 MEI 2023


 

Comments