MEMBUKA AIB SENDIRI DAN ORANG LAIN DENGAN ALASAN MENEGAKKAN KEADILAN UNTUK DIRI SENDIRI TREND SOSIAL MEDIA YANG SEMAKIN MEMBIMBANGKAN
Pernahkah kita semua terlihat di mana – mana media sosial seperti Facebook, Twitter dan TikTok trend membuka aib sendiri dan orang lain kononnya dengan alasan untuk menegakkan keadilan buat diri sendiri? Contoh yang ketara pada ketika ini adalah terdapat banyak kisah yang mengaibkan bekas pasangan masing – masing hingga terbuka segala cerita di dalam kelambu. Kisah kecurangan, kisah keganasan dan juga kisah para pasangan yang belum berkahwin secara sah tetapi sudah pun terlanjur. Apabila datangnya masalah (hamil luar nikah) dan ditinggalkan, maka bertebarlah segala aib diceritakan di dalam media sosial.
Amat menakutkan bukan? Tetapi ini realiti yang terpaksa dihadapi oleh umat akhir zaman apabila semuanya hendak diceritakan hatta hal dalaman keluarga juga dibuka dengan alasan untuk mempertahankan hak dan keadilan untuk diri sendiri. Adakah kita lupa bahawa kita ini manusia dan tidak lepas langsung daripada melakukan kesalahan? Ya, setiap daripada kita mempunyai masa silam yang buruk tapi itu bukanlah alasan untuk kita membuka aib sendiri apatah lagi aib orang lain. Perbuatan menyebarkan aib orang lain termasuk dalam sunnah sayyiah yang berdosa jika diteruskan oleh orang lain. Daripada Jarir bin Abdullah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“…barangsiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun.” (HR Muslim).
Ingatlah, Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa hambaNya yang menyebarkan aib sendiri dan orang lain walau apa jua alasan sekalipun. Negara kita mempunyai undang – undang, sekiranya kita mendapati diri kita dianiaya segeralah membuat laporan kepada pihak yang berwajib atau ambillah tindakan undang – undang mengikut saluran yang betul. Ia sangat dikhuatirkan apabila kita membuat sesuatu ‘posting’ di media sosial akan memakan diri kita kembali.
Sebagai peringatan untuk kita yang tidak lepas daripada melakukan dosa, sentiasa perbanyakkan taubat dan memohon keampunan Allah SWT serta memohon kemaafan sesama manusia dan saling menutup aib serta menjaga kehormatan sesama kita. Sabda Rasulullah SAW:
“Setiap pengikutku akan diampunkan kecuali orang yang mendedahkan kesalahan mereka.” (HR Bukhari dan Muslim).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment