SAMBUTAN HARI IBU - APA HUKUMNYA?



Setiap tarikh 14 Mei ramai di antara kita yang menyambut Hari Ibu atau lebih disebut sebagai 'Mother's Day'. Akan tetapi, bagi umat Islam apakah kita boleh meraikan sambutan ini? Penting untuk kita tahu bahawa masyarakat kita menafsirkan Hari Ibu itu sebagai satu hari yang istimewa sebagai tanda penghargaan daripada seorang anak kepada seorang ibu. 


Apa yang kita tidak tahu adalah sejarah tercetusnya Hari Ibu ini adalah dari Masyarakat Greece pada musim bunga sebagai tanda penghormatan mereka terhadap ibu kepada Tuhan mereka yang dikenali sebagai 'Rhea'. Kemudian ia juga disambut oleh penganut agama Kristian yang disebut sebagai 'Mothering Sunday' atau 'Mother Church' iaitu suatu penghargaan buat Maryam ibu kepada Nabi Isa A.S. 


Namun, ini sekadar sejarah dan fakta tentang kewujudan Hari Ibu. Jika diikut dari sudut pandang ajaran Islam sebenar, tiada hari khusus untuk menyambut perayaan tertentu berkaitan ibu atau bapa. Akan tetapi, Islam menuntut umatnya untuk sentiasa melakukan kebaikan dan membahagiakan kedua ibu bapa kita pada setiap masa. Firman Allah SWT: 


"...dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya." (QS Al - Isra: 23). 


Menurut Irsyad al - Fatwa ke - 11 oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bertarikh 3 Disember 2014 menyebut, sambutan Hari Ibu ini lebih kepada istilah dan lebih menghampiri pengaruh Barat yang terpaksa mewujudkan perayaan bagi menghormati ibu dan bapa. Sedangkan bagi orang Islam, anjuran supaya memuliakan dan menghormati kedua ibu bapa sebenarnya sudah dititikberatkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah Nabi SAW, tanpa terikat dengan masa dan tempat.  


Walau bagaimanapun, perayaan ini boleh jatuh kepada haram dan berdosa besar sekiranya perbuatan tersebut diniatkan untuk maksiat atau dianggap sebagai satu bentuk perayaan dengan ertikata perayaan keagamaan. Rasulullah SAW bersabda: 


"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka." (HR Abu Daud). 


Kesimpulannya, sambutan Hari Ibu ini diharuskan tetapi bersifat setiap masa. Sambutan ini dibolehkan tetapi perlu diraikan secara Islamik dan tidak meniru mana - mana agama. Kita harus peka dalam mengamalkan budaya asing kerana dikhuatiri akan terjerumus kepada kehancuran kerana perkara seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak dan keimanan seseorang, bahkan ia akan menjatuhkan maruah Islam itu sendiri. 


Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments