ASAS KEIMANAN DAN AKIDAH YANG LEMAH MENJADI FAKTOR UTAMA FENOMENA PERTUKARAN AGAMA DALAM KALANGAN MELAYU-ISLAM SEMAKIN MERUNCING

 

Fenomena murtad dalam kalangan massyarakat Melayu-Islam pada hari ini amat membimbangkan dan memberi implikasi yang negatif kepada masyarakat. Walaupun umumnya mengetahui bahawa hukum murtad itu merupakan dosa besar dan menurut jumhur ulama ia bukan sahaja dibalas dengan hukuman yang pedih di akhirat, akan tetapi boleh juga dihukum sebagai jenayah menurut al-Quran dan as-Sunnah.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 217, maksudnya: “Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)”.

Abad ke-21 kini juga masih belum ada usaha yang serius dijalankan bagi mengkaji dan mengenal pasti kaedah yang sesuai digunakan dalam menangani masalah pertukaran agama di kalangan masyarakat Melayu-Islam. Jika dahulu masalah pertukaran agama lebih tertumpu di kalangan masyarakat beragama Budhha dan Hindu, namun kini ia semakin menular malah mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu-Islam.

Justeru itu, permasalahan ini perlu diketengahkan bertujuan untuk menyedarkan tentang betapa isu murtad atau pertukaran agama dalam kalangan Melayu-Islam harus dipandang serius oleh masyarakat. Semuanya berbalik pada pegangan akidah kerana akidah merupakan asas utama orang Islam. Secara analoginya, tamadun ibarat rumah, tapak dan tiang ibarat iman. Semakin tinggi rumah yang hendak dibina, maka semakin kukuh dan kuatlah tapak yang diperlukan. Hal ini bermaksud, tunjang utama untuk menjaga akidah ialah dengan menjaga iman. Jika dipelihara pasti apa sahaja anasir jahat yang menguasai persekitaran sosial kita, semuanya boleh dihadapi dengan tenang tanpa terpengaruh sedikitpun dengan ideologi yang karut.  

Sumber: Kertas Kajian Vot RMC 78097 – Universiti Teknologi Malaysia


Comments