BERHATI-HATILAH!!! KEGANJILAN AMALAN IBADAH SESUATU KUMPULAN PERLU DITELITI TERLEBIH DAHULU KERANA KHUATIR IANYA MENYESATKAN AKIDAH UMAT ISLAM
Islam dan umatnya tidak pernah sunyi daripada ancaman dan cubaan yang menganggu gugat kesucian pegangan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Jika diteliti dengan lebih mendalam, fenomena ajaran sesat bukan sahaja datang daripada musuh Islam yang nyata tetapi juga dari cubaan mengeliru dan menyelewengkan umat Islam dengan menggunakan nama ‘Islam’ oleh golongan yang kononnya menganggap dirinya Islam dan benar.
Sebagai contoh, kumpulan ajaran sesat mudah dikenali dengan meneliti amalan-amalan yang dilakukan oleh mereka yang jelas bertentangan dengan amalan-amalan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Misalnya, terdapat program anjuran sebuah kumpulan supaya berzikir dalam keadaan bertelanjang, kononnya sebagai latihan untuk menghadapi suasana Padang Mahsyar di mana manusia dibangkitkan dalam keadaan tidak berpakaian. Alasannya supaya manusia dapat membiasakan diri dengan suasana ini dan perlu dilatih ketika masih hidup di dunia lagi.
Contoh lain ialah mendakwa amalan-amalan yang dilakukan oleh umat Islam seperti solat, puasa dan rukun-rukun Islam yang lain telah dimansuhkan. Dakwaan-dakwaan sebegini jelas bertentangan dengan syariat, namun malangnya terdapat segelintir umat Islam yang masih terpengaruh dengan ajaran ganjil seperti ini.
Justeru itu, umat Islam di Malaysia khususnya perlulah memantapkan akidah masing-masing berlandaskan pegangan ASWJ. Hadirlah ceramah mahupun kelas agama yang disampaikan oleh penceramah yang telah mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri, peka dengan fatwa negeri-negeri di Malaysia yang mewartakan ajaran-ajaran yang didapati sesat dan menyeleweng dari pegangan akidah ASWJ. Moga dengan usaha-usaha ini dapat menghindarkan diri kita semua sebagai umat Islam dari anasir-anasir sesat yang membinasakan.
Sumber: Bahagian Komunikasi Korporat, Majlis Agama Islam Selangor.
Comments
Post a Comment