HARGAILAH UMUR DAN NYAWA YANG DIBERIKAN OLEH ALLAH SWT - JANGAN CAMPAKKAN DIRI KITA KE LEMBAH KEBINASAAN
Artikel ini ditulis bukanlah untuk menghentam, jauh sekali ingin menghina atau mencela seseorang. Akan tetapi artikel ini ditulis untuk sekadar buat pengajaran kepada semua manusia tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa tetapi lebih mengkhususkan kepada generasi muda harapan bangsa, tonggak kepimpinan negara di masa akan datang.
Pernahkah anda terfikir bagaimana pengakhiran hidup kita di masa akan datang? Artikel ini pasti tidak ada seorang pun yang pernah terfikir bagaimanakah pengakhiran hidup kita sebenarnya. Seharusnya sebagai seorang manusia terutama sekali umat Islam, kita harus fikir tentang apa tujuan kita hidup di muka bumi ini? Sudah pasti ingin melakukan kebaikan demi mendapatkan ganjaran pahala dan masuk ke dalam syurga.
Namun, ada sebahagian daripada kita telah memilih jalan yang salah dan mengakibatkan diri mereka terjerumus ke kancah kebinasaan. Ada sebahagian daripada kita yang memilih untuk menghumbankan diri mereka ke dalam lembah yang tidak baik seperti terlibat dengan aktiviti – aktiviti yang tidak bermoral. Contoh yang paling nyata adalah penyalahgunaan dadah dan keterlibatan dengan kegiatan lumba haram. Tahukah kita apa hukumnya sekiranya kita menceburkan diri ke dalam lembah kebinasaan dan mati disebabkannya? Haram hukumnya. Tidakkah kita merasa rugi jika hidup ini disia – siakan dengan perkara yang tidak berfaedah? Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. (QS al – Baqarah: 195).
Konsep kematian dalam Islam amat mudah, iaitu yakin kematian akan menjengah bila-bila masa. Hanya Allah SWT sahaja yang Hidup Kekal dan tidak mati. Hanya Dia Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa Yang Kekal Abadi. Muslim tidak takut mati tetapi sentiasa digalakkan untuk mengingati mati. Namun Muslim juga dicegah untuk memilih jalan kematian yang penuh dengan kebinasaan.
Maka dari itu, jadilah Muslim yang sebenar, yang mewakafkan seluruh hidupnya untuk manfaat manusia lain. Hargailah umur dan nyawa yang diberikan oleh Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia” (HR Ahmad).
Sumber: Twitter Dr. Zulkifli Mohamad Al - Bakri
Comments
Post a Comment