Kurang dari 24 jam kita akan menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha ataupun dengan nama lain disebut sebagai Hari Raya Korban/Haji. Hari Raya Aidiladha ialah satu daripada hari kebesaran Islam yang diraikan pada setiap 10 Zulhijah mengikut takwim Hijrah. Mengapa ia disebut juga sebagai Hari raya Haji adalah kerana pada saat itu jutaan umat Islam datang dari seluruh pelosok dunia dan berkumpul di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah haji bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima sebagai menyahut seruan Allah SWT.
Pada hari itu juga, umat Islam disunatkan melakukan ibadah korban sebagai memperingati peristiwa Nabi Ibrahim AS yang mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS demi kepatuhan dan ketaatan baginda terhadap perintah Allah SWT. Di samping itu melalui peristiwa ini jelas membayangkan betapa setiap yang hendak dikorbankan itu mestilah sesuatu yang bersifat paling disayangi dan berharga. Perintah berkorban ini disyariatkan oleh Allah SWT pada tahun ke-2 Hijrah bersamaan dengan perintah solat Aidiladha dan mengeluarkan zakat. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)." (QS al-Kawthar: 12).
Terdapat banyak hadis yang membicarakan keistimewaan dan kelebihan ibadah korban. Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah SWT selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya, sesungguhnya darah itu akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban)." (HR At – Tirmidzi).
Jelas di sini berkorban adalah sebahagian usaha mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Mendekatkan hubungan antara manusia dengan Allah SWT ini dikenali sebagai hubungan yang bersifat vertical (menegak). Selain itu, berkorban juga dapat mengeratkan hubungan sesama manusia atau dikenali sebagai hubungan yang bersifat horizontal (mendatar) melalui pembahagian daging korban terutama kepada golongan fakir dan miskin. Sebenarnya, ibadah korban adalah memanifestasikan rasa syukur dan puncak takwa bagi seseorang umat Islam. Ia sebagai tanda kembalinya manusia kepada Allah SWT setelah menghadapi ujian sehingga ada yang terperdaya dengan pujukan syaitan lalu bertindak menjauhkan diri daripada Allah SWT serta mengingkari laranganNya. Korban disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan pengorbanan.
Sesungguhnya Allah SWT hanya akan menerima amalan seseorang itu mengikut tahap keikhlasan dan ketakwaannya dan bukan kepada besar atau kecilnya binatang yang dikorbankan itu. Firman Allah SWT:
"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu." (QS al – Hajj: 37).
Justeru, sebagai umat Islam kita hendaklah berlumba-lumba dan bersegera di dalam melakukan ibadah korban ini kerana di dalam ibadah korban banyak kelebihannya. Dengan korban itu diharapkan ketakwaan kita kepada Allah semakin meningkat dan menggambarkan bahawa kita adalah hamba-Nya yang sentiasa memerlukan bimbingan serta petunjukNya. Oleh itu, kunci kepada semua amalan baik sama ada amalan sosial mahupun yang bersifat individu ialah takwa.
Sumber: Harian Metro (19 Jun 2023)
Comments
Post a Comment