HIDUP BERJIRAN - UMAT ISLAM SALING MEMERLUKAN ANTARA SATU SAMA LAIN DALAM MENGUKUHKAN UKHUWAH

 

Sudah menjadi lumrah manusia yang hidup di muka bumi ini saling memerlukan antara satu sama lain. Justeru, demi kepentingan hidup yang boleh menjamin ketenteraman dan kebahagiaan, maka Islam menggariskan beberapa peraturan dalam hidup bermasyarakat. Antara peraturan hidup yang sepatutnya disemai dalam diri setiap anggota masyarakat ialah menghormati dan berbuat baik kepada jiran tetangga. Kemantapan dan keutuhan sesebuah masyarakat bergantung kepada ketinggian budi pekerti. Dengan adanya adab-adab kesopanan dan budi pekerti tinggi menjadikan seseorang manusia itu dihormati serta disegani dalam masyarakat.

Imam al-Baihaqi menyebutkan satu riwayat dalam karyanya al-Sunan al-Kubra bahawa isteri Nabi SAW iaitu Aisyah RA meriwayatkan bahawa beliau pernah bertanya kepada Nabi SAW yang bermaksud:

Wahai Rasulullah berapakah had kejiranan? Baginda menjawab: empat puluh buah rumah." (HR Baihaqi).

Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan ini kerana ia adalah salah satu daripada cara hidup Islam. Jadi umat Islam berkewajipan mengekalkan hubungan baik dengan jiran, demi mewujudkan kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Ini sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud:

"Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh." (QS An – Nisaa’: 36).

Namun, apa yang menyedihkan kita pada hari ini adalah bagaimana manusia pada hari ini hidup berjiran. Ia seolah – olah kosong apabila kita hidup berjiran tetapi saling tidak bertegur sapa. Ini kerana realiti kehidupan kini dikelilingi oleh manusia yang mempunyai pelbagai pandangan, gaya, sikap, akhlak, perangai, bahasa, budaya dan politik yang berbeza-beza. Jenis dan ragam manusia yang bermacam-macam ini ditambah lagi tidak semua mereka memiliki hati yang suci dan luhur. Bagaimanapun, perkara ini dapat diatasi jika masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling faham memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar-tukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah dan kasih sayang.

Betapa pentingnya hubungan kejiranan itu sehingga Rasulullah SAW mengaitkannya dengan keimanan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya." (HR Muslim).

Kekuatan hubungan kejiranan yang sempurna dan harmoni ini sebenarnta mampu mengukuhkan ikatan persaudaraan Islam dan kasih sayang yang kadangkala melebihi daripada keluarga kita sendiri. Kehidupan yang mendapat keberkatan daripada Allah SWT adalah kehidupan yang sentiasa dikelilingi dengan kebaikan dan kesejahteraan serta jauh daripada sebarang anasir kerosakan dan kebinasaan.

Sumber: Harian Metro (16 Jun 2023)



Comments