ISU HAK JAGAAN ANAK OLEH IBU MUALAF DAN AYAH BUKAN BERAGAMA ISLAM - APA KATA SUDUT PANDANG AGAMA?


Baru – baru ini heboh di media sosial berkenaan satu video di mana menunjukkan seorang anak kecil yang menangis di pelukan ibunya saat mahkamah telah pun memutuskan hak jagaannya diserahkan kepada sang ayah. Apa yang menjadi isunya di sini adalah ayah dan ibunya telah lama berpisah dan ibunya memutuskan untuk menjadi seorang mualaf dan ayahnya masih lagi di agama yang sama iaitu bukan beragama Islam. Lalu, apa pandangan agama Islam mengenai hal ini?


Dari sudut pandang Islam, pihak yang paling layak mendapat hak jagaan anak setelah terbubarnya sebuah perkahwinan adalah ibu kepada anak-anak tersebut. Walau bagaimanapun, hak penjagaan itu akan terbubar sekiranya di pihak si ibu terdapatnya sesuatu salah laku seperti berkelakuan buruk secara keterlaluan, yang sengaja menukar permastautinnya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, murtad dan mengabaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.


Namun, menurut pandangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Status Agama Anak Bawah Umur Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa di dalam Islam, Jumhur Ulama telah bersepakat bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam.


Oleh yang demikian, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan tersebut adalah secara langsung beragama Islam. Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya tidak perlu dipinda.


Walaupun begitu, apa yang paling penting dalam hal ini adalah keadaan emosi anak – anak yang perlu dijaga. Jangan kerana kedua ibu bapa terlalu mementingkan diri, maka kesihatan emosi dan kesihatan mental anak diabaikan begitu sahaja. Jika ada pasangan bukan Islam yang salah seorang daripada mereka memeluk Islam, maka hak hadanah tidak dinilai berdasarkan kepada agama ibu atau bapa. Sebaliknya diserahkan kepada sesiapa yang lebih dapat menjamin kemaslahatan anak dari sudut perkembangan moral, emosi dan tumbesarannya (syafaqah). Dalam masa yang sama, ibu atau bapa yang muslim bertanggungjawab memperkenalkan Islam kepada anak tersebut.


Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perlis, Blog Zulkifli Hasan (https://www.zulkiflihasan.com/2018/02/08/kedudukan-kanak-kanak-apabila-salah-seorang-ibu-bapa-memeluk-islam-menurut-perspektif-undang-undang-dan-syariah/) & Maktabah al Bakri (https://maktabahalbakri.com/343-hak-penjagaan-anak-anak/).

Comments