Baru-baru ini terdapat satu isu berkenaan kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pelawak Malaysia yang menyatakan “akan memilih wanita tidak bertudung tetapi solat berbanding wanita tidak solat tetapi bertudung sekiranya hanya diberi dua pilihan”.
Solat dan menutup aurat adalah dua perkara yang hukumnya adalah wajib disisi Islam. ‘Wajib’ bermaksud sesuatu yang diberikan pahala apabila dikerjakan dan berdosa meninggalkannya.
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa, ayat 103, bermaksud:
“Sesungguhnya solat (sembahyang) itu merupakan kewajipan yang telah ditetapkan atas orang Mukmin dan Mukminah”.
Begitu juga dengan hukum menutup aurat. Dalam Surah al-Nuur, ayat 31, Allah SWT menjelaskan bahawa para wanita hendaklah menjaga pandangan, memelihara kemaluan dan tidak dibenarkan menampakkan perhiasan mereka kecuali muka dan tapak tangan serta menutupi dada dengan tudungnya.
Maka, kedua-dua hukum bagi solat dan menutup aurat adalah jelas iaitu wajib. Sekiranya seseorang wanita itu tidak menutup aurat tetapi mengerjakan solat maka hukum solatnya adalah sah jika sempurna segala rukun dan syaratnya dan dalam keadaan ikhlas. Namun, perbuatan tidak menutup aurat meskipun di luar waktu solat, hukumnya adalah berdosa besar. Oleh itu, wajib wanita tersebut bersegera bertaubat dan kembali mentaati Allah SWT.
Imam Muslim meriwayatkan, Nabi SAW bersabda: “Dua golongan ialah dari ahli neraka yang antaranya ialah perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang melihat kepada lelaki dan lelaki melihat kepadanya yang kepalanya seperti bonggol unta”.
Justeru itu, sekiranya tidak menutup aurat tetapi masih menunaikan solat dikhuatiri perbuatan tidak menutup aurat itu boleh menjadi salah satu sebab fitnah ke atas kaum Muslimin dan menyesatkan yang lainnya, maka bukan sahaja dosa sendiri ditanggung, malah turut menanggung dosa orang yang terpengaruh itu. Dikhuatiri dosa-dosa tersebut akan membinasakan segala amalan baik dan memadamkan pahala solat dan puasamu. Jaga-jaga jangan terjerat ideologi liberal yang secara halusnya mempengaruhi minda kita tanpa sedar meremeh-remehkan hukum Islam.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – JUN 2023, Majlis Fatwa Islam Palestin, Petikan Ceramah Ustaz Azhar Idrus
Comments
Post a Comment