JAGALAH SOLAT AGAR DIRI TERHINDAR DARIPADA PERBUATAN KEJI DAN MUNGKAR


Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:


 “Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan ke muncaknya adalah berjihad.” (HR At – Tirmidzi).


Cuba kita lihat hadis di atas, ia jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sendiri menyeru umat Baginda agar mengutamakan solat dahulu dalam segala hal. Ini kerana dengan solat dan berdoa kepada Allah SWT akan dapat menyelesaikan segala kekusutan di dalam hidup kita. Firman Allah SWT:


“Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) setiap solat fardu..” (QS al – Baqarah: 238).


Secara ringkasnya, haram membatalkan solat fardhu dengan sengaja tanpa kemudaratan apatah lagi dengan sengaja tidak mengerjakannya. Ramai di antara kita pada hari ini menganggap bahawa membatalkan solat fadhu atas alasan yang tidak munasabah sebagai satu hal yang biasa. Namun, ia sebenarnya salah dan hukumnya berdosa. Tidakkah kita mengambil ibrah (pengajaran) daripada peristiwa Israk dan Mikraj? Peristiwa di mana Rasulullah SAW berangkat ke Sidratul Muntaha untuk berjumpa dan merayu kepada Allah SWT agar waktu solat dikurangkan daripada 50 waktu kepada 5 waktu? Kenapa kita masih lagi tidak mengerjakan solat fardhu bahkan dengan sengaja meninggalkannya? Tidak takutkah kita dengan azab Allah SWT?


Seperkara lagi, dengan bersolatlah jalan untuk kita terhindar daripada segala perbuatan keji dan mungkar. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al – Ankabut, ayat 54 yang bermaksud:


“Dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.”


Oleh kerana itu, Allah SWT mengingatkan kita agar sentiasa menjaga solat. Kerana sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Jika tidak solat, mudah saja kita melanggar larangan Allah SWT. Janganlah kita menjadi seorang Muslim yang hanya tertera pada kad pengenalan sahaja tetapi hilang jati dirinya. Ingatlah, jika kita lupa Allah SWT, Allah SWT juga akan lupakan kita. Jika Allah SWT sudah melupakan kita, maka kita ini akan menjadi orang yang paling rugi didunia.  Jagalah solat kita kerana itulah sebaik-baik akhlak orang mukmin. In shaa Allah, hidup kita juga akan lebih bahagia.


Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments