JEMPUTAN KE MAJLIS KERAIAN TETAPI BERUNSURKAN MAKSIAT? UMAT ISLAM PERLU HINDARI DENGAN CARA BERHEMAH

Baru- baru ini heboh di media sosial tentang seorang pendakwah terkenal tanah air menghadiri majlis walimah (perkahwinan) seorang selebriti Malaysia yang dikatakan tidak sesuai dengan keadaan majlis dan keperibadian pendakwah tersebut. Namun, pendakwah berkenaan telah pun memberikan pencerahan sebenar tentang isu kehadiran beliau di majlis tersebut.


Akan tetapi, bukanlah isu tentang kehadiran pendakwah ke majlis itu yang hendak dibincangkan melainkan tuntutan kita sebagai umat Islam dalam menghadiri ke majlis – majlis keraian apabila sudah dijemput. Menghadiri majlis – majlis keraian seperti majlis perkahwinan, pertunangan, sambutan hari lahir dan sebagainya merupakan satu tuntutan sebagai manusia yang ingin meraikan hari istimewa. Hukum asal menghadiri majlis perkahwinan sekiranya dijemput secara khusus adalah wajib menurut majoriti ulama dalam mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali. Ia berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:


“Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.” (HR Muslim).


Namun, dalam beberapa keadaan kita dituntut untuk tidak menghadiri majlis – majlis berkenaan. Sebagai contoh, apabila dijemput dan kita sudah tahu bahawa majlis itu ada berunsurkan maksiat seperti disajikan minuman beralkohol ataupun ada hiburan yang keterlaluan, maka sudah gugur hukum wajib bagi kita untuk menghadiri majlis tersebut. Ini berdasarkan firman Allah SWT:


“Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al Quran bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain.” (QS An – Nisa: 140).


Walau bagaimanapun, sekiranya kita sudah dijemput ke majlis keraian terbabit tanpa mengetahui adanya hiburan yang melampau dan berunsurkan maksiat, kita oleh sahaja meninggalkan majlis itu dalam keadaan terhormat tanpa memalukan tuan rumah. Ini kerana bimbang dikhuatiri akan wujudnya fitnah maka adalah lebih baik untuk kita menghindarinya. Hal ini juga yang dilakukan oleh Rasulullah SAW semasa menghadiri sebuah majlis apabila Baginda keluar semula dari majlis berkenaan kerana terdapat ukiran – ukiran patung di dalam rumah.  


Ingat, apabila menerima jemputan ke majlis – majlis keraian kita sebagai umat Islam hendaklah berhati – hati Ketika menghadirinya. Apabila adanya maksiat dan hiburan yang keterlaluan di dalam majlis itu, tinggalkanlah dengan segera. Firman Allah SWT:


“Apabila engkau (Muhammad) melihat orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka hingga mereka beralih ke pembicaraan lain. Dan jika setan benar-benar menjadikan engkau lupa (akan larangan ini), setelah ingat kembali janganlah engkau duduk bersama orang-orang yang zalim.” (QS al – An’am: 68).


Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments