Hari ini kita sudah pun memasuki 3 zulhijjah dan dalam masa beberapa hari sahaja kita akan menyambut Hari raya Haji. Salah satu keistimewaan di bulan zulhijjah yang boleh dikatakan agak terkenal di kalangan masyarakat Islam di negara ini adalah Hari Arafah. Hari Arafah merupakan perayaan Islam yang berlaku pada 9 Zulhijjah dalam kalendar Islam. Hari Arafah juga adalah hari kedua dalam ibadah haji bagi umat Islam yang mampu melaksanakannya. Ia dipanggil Hari Arafah kerana pada hari ini para jemaah haji akan ke Gunung Arafah dari Mina serta Padang Arafah untuk mengerjakan haji akan berwukuf di Padang Arafah yang menjadi antara kemuncak ibadah. Pada hari berkenaan, kepada sesiapa yang tidak mengerjakan haji maka disunatkan untuk berpuasa.
Firman Allah SWT:
“Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya dari neraka seperti Hari Arafah. Pada hari tersebut Allah mendekati mereka dan berbangga dengan mereka (hamba-hambanya) di sisi malaikat dan berkata: Apa yang mereka mahukan?” (HR Muslim).
Mungkin ada antara kita yang teragak-agak untuk berpuasa pada Hari Arafah memandangkan Arab Saudi mengumumkan Hari Arafah awal sehari berbanding di Malaysia. Namun, perlu diingat bahawa penetapan tarikh Hari Arafah adalah berdasarkan rukyah di negara masing-masing.
Antara kelebihan berpuasa di Hari Arafah adalah:
1.Puasa Arafah adalah satu jalan atau ruang yang diberikan oleh Allah SWT supaya umat Islam memperoleh pengampunan yang besar.
2.Peluang bagi mereka yang tidak berkesempatan melakukan ibadat haji supaya mereka merebut fadhilat yang dijanjikan pada hari Arafah.
3.Hari 9 Zulhijjah termasuk dalam 10 hari terawal bulan Zulhijjah. Sepanjang tempoh ini, segala amalan kebaikan yang dikerjakan akan diberi ganjaran yang lebih besar berbanding apabila dilakukan pada bulan-bulan yang lain.
4.Digalakkan juga perbanyakkan doa menurut riwayat Imam Malik, Rasulullah bersabda : “Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”. (HR At – Tirmidzi).
Ternyata puasa di hari Arafah mempunyai begitu banyak keistimewaan yang bakal diperolehi oleh umat Islam yang mengerjakannya. Ini kerana dalam kita berpuasa, secara tidak langsung kita memperoleh keampunan daripada Allah SWT terhadap dosa – dosa yang lalu. Semoga kita diberikan kekuatan untuk melaksanakan ibadah sunnah ini dengan hati yang gembira dalam mengejar kerahmatan daripada Allah SWT, Aamiin.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment