KETAKSUBAN TERHADAP SESUATU AJARAN BUKAN SAHAJA MENYESATKAN AKIDAH MALAH MAMPU MEMBERI ANCAMAN BAHAYA DALAM MASYARAKAT




Modus operandi (MO) sesebuah ajaran sesat tidak sama sepertimana zaman dahulu. Revolusi zaman dan keadaan semasa turut menjadi faktor utama perubahan modus operandi mereka bagi merekrut seramai pengikut yang boleh untuk menjalankan aktiviti dan pengabdian dengan cara yang salah. 

Mereka kini semakin berani menyebarkannya melalui media sosial seperti Tiktok, Instagram, Facebook, YouTube, Telegram, Twitter dan sebagainya sehingga mampu membuatkan seseorang itu taksub dengan ideologi sesat tersebut. Contohnya mimpi pemuda al-Qassam, ajaran Perjalanan Mimpi Terakhir (PMYT) oleh Sittah an-Nur dan sebagainya. Malah terdapat kumpulan ajaran sesat yang bergerak secara senyap-senyap dan berselindung melalui aktiviti sosial, aktiviti ekonomi dan juga politik sebelum mendoktrinkan ideologi ajaran sesat mereka.

Sedarlah bahawa sesungguhnya ketaksuban kepada sesuatu pegangan juga boleh menjadi antara faktor yang memberi ancaman bahaya tanpa sedar di dalam masyarakat seterusnya memberi kesan kepada keamanan negara. Cukuplah dengan ancaman yang diberikan oleh kumpulan sesat seperti al-Maunah dan al-Arqam suatu ketika dahulu yang menghuru-harakan masyarakat, mengembleng pemikiran manusia terhadap agama Islam, janganlah diulang semula demi keharmonian negara dan kesucian akidah umat Islam sendiri.

Justeru itu, janganlah terpengaruh dan terikut-ikut dengan sesuatu ajaran yang kita tidak ada ilmu tentangnya kerana dibimbangi ia akan merugikan diri sendiri malah dimurkai oleh Allah SWT.

Sumber: Majlis Agama Islam Negeri Selangor, Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia


 

Comments