MUSIM IBADAH HAJI 1444 HIJRAH - BERKEMAMPUAN DAN SIHAT TUBUH BADAN ANTARA ELEMEN PENTING DALAM MENUNAIKAN RUKUN HAJI



Menunaikan ibadah haji adalah impian yang amat didambakan orang-orang yang beriman. Apabila terlaksana Rukun Islam yang terakhir ini, zahirnya sudah sempurna keseluruhan tuntutan dasar agama tercinta. Sesuai dengan kedudukan haji sebagai Rukun Islam yang terakhir, kewajipan ini begitu mencabar dan terikat dengan pelbagai hukum-hakam. Al-Quran menerangkan antara keunikan ibadat ini ialah umat Islam perlu mempunyai kemampuan pelbagai sudut sebelum menunaikan haji. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: 

"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya." (QS Ali 'Imran: 97).


Sesuatu yang menggembirakan jiwa Mukmin, apabila ia sudah berkemampuan dan memenuhi syarat lalu ia beroleh khabar gembira pihak pengurusan haji tanah air bahawa namanya 'naik' untuk haji. Perasaan gembira itu tidak sama dengan rasa gembira melawat pelbagai destinasi pelancongan. Ini kerana kelainan perasaan tercetus disebabkan ia peluang emas untuk melawat dan mempelbagaikan ibadat di bumi paling berkat. Selain itu, para jemaah haji yang mengerjakan haji juga bakal memperoleh peluang rahmat yang luas. Dalam nas hadis, ada dinyatakan ganjaran istimewa antaranya sabda Rasulullah SAW: 


 "Haji mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga." (HR Imam Ahmad).


Walau bagaimanapun, dalam kegembiraan untuk mengerjakan haji ada elemen-elemen penting yang harus kita ketahui. Antara elemen penting tersebut adalah cukup perbelanjaaan dan sihat tubuh badan. Malah, Fuqaha turut menyatakan seseorang yang bakal menunaikan haji turut berkewajipan memperuntukkan wang dan terus menyediakan keperluan asasi untuk keluarga yang ditinggalkan.


Dalam pada itu, perbelanjaan ketika haji dan perjalanan kembali ke tanah air juga perlu ada. Di samping persiapan kewangan, persiapan terpenting ialah persiapan dari aspek jasmani. Bakal  jemaah haji hendaklah memiliki tubuh yang sihat. Ini kerana ibadah haji adalah satu – satunya ibadat yang memerlukan pengerakan fizikal yang lebih khasnya berjalan. Sebagai persiapan jasmani, disarankan bakal jemaah haji mula melatih diri berjalan bergerak ke suatu tempat ke tempat lain dengan kadar yang mampu. Tingkatkan jarak untuk stamina tubuh badan. Latihan ini sebagai pra aktiviti berjalan di sana nanti. 


Oleh itu, buat para bakal jemaah, lakukanlah persiapan dengan secukupnya. Persiapan dan pelaksanaan haji yang sempurna amat diperlukan supaya memberi kesan kehidupan yang direstui Allah SWT. Laksanakan haji biarpun sekali sahaja, namun implikasi sejahtera terukir sampai akhirat.


Sumber: Harian Metro (9 Jun 2023)

Comments