MUSLIM YANG MENGHINA AGAMA ISLAM PERLU BERTAUBAT DAN DIPULIHKAN AKIDAHNYA AGAR KEMBALI KE JALAN YANG DIREDHAI ALLAH
Celaan kepada Allah SWT, RasulNya dan Islam merupakan penyebab kepada murtad. Para ulama telah bersepakat bahawa sesiapa yang menghina Allah SWT, atau menghina RasulNya, atau menolak apa yang Allah turunkan, atau membunuh Nabi yang diutuskan oleh Allah, maka dia menjadi kafir sebagaimana yang ditetapkan oleh syariat Allah.
Manakala jika seseorang itu melakukan penghinaan tersebut dalam keadaan marah, maka ia bukanlah alasan, selagi mana kemarahan itu tidak sampai menutup akalnya seperti gila dan tidak mengetahui apa yang dikatakannya. Jikalau seseorang itu melakukan penghinaan ini secara jahil ataupun dalam keadaan tidak sedar, maka hendaklah ditegur perbuatan tersebut dan dia mestilah bertaubat atas perbuatannya itu.
Namun, perlulah diketahui bahawa sebarang hukum atau label kepada penghina agama Islam hanya boleh dijatuhkan oleh pemerintah. Dalam konteks perundangan syariah Malaysia, mana-mana Muslim yang melakukan perbuatan sedemikian lazimnya akan diwajibkan untuk menghadiri sesi istitabah dalam tempoh yang ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Syariah di Jabatan Mufti negeri. Ia bagi memulihkan kefahaman akidah pesalah dan memberikan kefahaman yang tepat kepada keraguannya.
Sumber: SS Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri
Comments
Post a Comment