Sejak wujudnya aplikasi TikTok di media sosial, ramai di kalangan masyarakat Malaysia sangat terpengaruh dengan setiap ‘filter’ yang disediakan di dalam aplikasi tersebut. Salah satu aplikasi yang semakin kerap dicuba oleh masyarakat kita adalah ‘filter’ permainan kuiz yang memerlukan kita untuk menggelengkan kepala sama ada ke kiri atau ke kanan untuk membuat pilihan jawapan.
Namun, apa yang mengejutkan terdapat kuiz yang sebegitu tetapi kononnya berunsurkan agama dan salah satu daripada soalannya adalah “Apakah Allah itu ada?”. Perkara ini sangat menyentuh sensitiviti agama Islam. Bayangkan sekiranya permainan ini dimainkan oleh orang bukan Islam, sudah pasti ia akan mewujudkan satu perbalahan di antara orang Islam dan bukan Islam lalu menjadi isu ketegangan agama. Apa motif sebenar ‘kuiz’ tersebut diwujudkan? Jika alasannya ingin menguji tahap keimanan orang Islam, ternyata ia satu konsep yang salah sama sekali kerana pengguna TikTok bukanlah dari kalangan umat Islam sahaja.
Apakah kita sebagai umat Islam masih lagi tidak sedar? Dapat dilihat di sini ada sesetengah pihak cuba untuk memburukkan agama Islam secara halus dengan permainan ‘kuiz’ berkenaan. Apabila ‘kuiz’ berkenaan dimainkan oleh kebanyakan orang, maka ia akan menjadi satu perdebatan tentang kewujudan Allah SWT dan ia berlarutan sehingga menjadi satu ketegangan agama lalu berlanjutan ke isu Islamophobia akibat tindakan orang Islam yang ingin memelihara kesucian agama mereka.
Ingatlah wahai umat Islam, berhati – hatilah dalam bermain permainan di aplikasi media sosial. Jangan kerana ia sebuah ‘trending’ maka kita ikutkan sahaja walaupun permainan itu secara nyata mendatangkan fitnah terhadap agama Islam. Allah SWT sangat murka kepada para hambaNya yang memperolok -olokkan agama demi sebuah hiburan. Firman Allah SWT:
"Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya)." (QS al-An'am: 70).
Sumber: Harian Metro (5 Mac 2021).
Comments
Post a Comment