Apabila tibanya bulan Muharram, maka umat Islam pasti tahu bahawa ianya satu perubahan tahun di dalam kalendar Islam atau Hijrah. Akan tetapi di dalam 30 hari bulan Muharram, ada satu hari yang dianggap paling istimewa dan mempunyai banyak fadilatnya, iaitu pada tanggal 10 Muharram. Apa kelebihan 10 Muharram ini?
Terdapat banyak kelebihan dan fadhilat pada 10 Muharram berdasarkan nas dan hadis yang sahih. Antara kelebihan 10 Muharram ini adalah:
1) Hari yang dicari fadilatnya. Pada tanggal 10 Muharram ini umat Muslim dianjur untuk melakukan berbagai amalan baik seperti memperbanyakkan doa kepada Allah SWT dan melakukan puasa sunnah ‘Asyura sebagaimana dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Puasa yang paling utama setelah (puasa) Ramadhan adalah puasa pada syahrullah (bulan Allah) iaitu Muharram. Sementara solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam." (HR Muslim).
2) Peristiwa di mana Nabi Musa AS diselamatkan oleh Allah SWT manakala Firaun dan para pengikutnya ditenggelamkan.
3) Diampunkan dosa setahun yang lalu. Dari Abu Qatadah : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda SAW :
“Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.” (HR Muslim).
Kata Abdul Wahhab bin al-Khaffaf di dalam Kitab Al-Siyam: Telah berkata Qatadah: Dikatakan bahawa puasa ‘Asyura adalah kaffarah (pengampun dosa) bagi lelaki yang mengabaikan zakat hartanya. (rujuk: Lathaif al Ma’arif. Al-Maktab Al Islami: ms 101).
4) Hari di mana Allah SWT menerima taubat Nabi Adam AS. (rujuk: Al-Durr Al-Manthur. Dar al-Fikr, 1/146).
Semoga dengan info ini dapat membuka hati kita untuk melakukan lebih banyak amalan ibadah kepada Allah SWT selain daripada ibadah wajib yang diperintahkan. Semoga dengan amalan ini, dapat kita sama – sama nikmati ganjarannya daripada Allah SWT.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment