DIDIK JIWA GENERASI MUDA UNTUK LEBIH MENCINTAI AGAMA ISLAM


Generasi muda di negara ini merupakan kelompok terbesar yang mengisi ruang populasi dan jumlah keseluruhan kependudukan negara. Dengan kenyataan ini, ia sudah cukup memberi bayangan betapa negara ini dicorak oleh mereka sama ada dari segi keperluan sumber manusia, pendidikan, kesenian dan hiburan, gaya hidup dan sebagainya yang agak lebih menonjol.

Namun apa yang menyedihkan, melihat kepada situasi semasa generasi muda khususnya yang beragama Islam, amat mendukacitakan. Mana tidaknya, dengan kehadiran pelbagai platform media sosial, sebahagian daripada mereka lebih memilih untuk ke arah duniawi dan hiburan daripada mengejar akhirat serta mempelajari ilmu agama. Apa yang membimbangkan, jiwa mereka akan hilang pegangan agama dek kerana dunia hiburan yang melampaui batas. Seharusnya, kita perlu memikirkan bagaimana caranya untuk menarik kembali minat mereka untuk mendalami ilmu agama dan cintakan ilmu Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” (QS al – Kahfi: 13).

Potongan dari surah al – Kahfi di atas Allah SWT telah memaparkan ciri-ciri cemerlang yang perlu ada dalam diri para remaja kita. Allah SWT menggunakan kalimah “Fitiah” yang bermaksud golongan muda. Ayat tersebut memaparkan kekentalan iman yang wujud dalam diri tujuh orang pemuda yang melarikan diri daripada raja yang zalim, yang ingin menggugat keimanan mereka kepada Allah SWT. Tujuh orang pemuda ini berjaya membuktikan nilai dan kualiti iman yang wujud dalam diri mereka, keyakinan yang sepenuhnya terhadap kekuasaan dan kebesaran Allah SWT, keteguhan prinsip dan pendirian serta semangat juang yang tinggi dan mengagumkan. Inilah ciri-ciri yang seharusnya dimiliki oleh generasi muda kita. Jika generasi muda kita memiliki ciri-ciri seperti ini, maka sudah tentu kita tidak akan merasa risau dan takut sebagaimana kita merasa risau dan takut pada hari ini.

Oleh itu, mari kita didik jiwa generasi muda kita untuk mencintai Kembali agama Islam dengan menganjurkan pelbagai program hiburan tetapi berunsurkan pendidikan untuk kea rah ukhrawi. Ini kerana sudah fitrahnya jiwa muda menyukai hiburan lalu kita harus pergunakan peluang ini untuk menjadi kreatif dalam menarik minat mereka untuk mendalami dan mencintai agama Islam. 

Ingatlah, generasi muda yang cemerlang ialah generasi muda yang mempunyai etika dan akhlak yang mulia. Setiap tingkah laku mereka disenangi oleh semua orang.Mereka menghormati orang lain dan orang lain menghormati mereka. Bukan itu sahaja, mereka juga mempunyai jiwa yang kuat. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan dikasihi oleh Allah SWT  daripada mukmin yang lemah. Dalam setiap kebaikan berusahalah untuk mendapatkan apa yang mendatangkan kebaikan kepada engkau dan mohonlah pertolongan daripada Allah dan janganlah berasa lemah.” (HR Bukhari dan Muslim).

Justeru, marilah sama-sama kita menggerakkan usaha bersepadu bagi mencegah mereka daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan dan kemungkaran. Didiklah jiwa mereka untuk lebih menyayangi agama Islam dan terus untuk memelihara martabat Islam daripada musuh – musuh Islam.

Sumber: Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM)


 

Comments