Walaupun Aidiladha telah pun tiga hari berlalu, namun sebagai umat Islam kita seharusnya tidak perlu berhenti untuk menzahirkan rasa kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana masih lagi memberi nafas kepada kita untuk meraikan perayaan ini. Begitu juga halnya dengan ibadah korban yang dilaksanakan, seharusnya kita menzahirkan rasa kesyukuran juga kerana kita diberi peluang untuk melaksanakan ibadah tersebut.
Lantaran itu, setiap makhluk Allah SWT sudah ditetapkan rezekinya dan ia tidak akan tertukar sedikit pun kerana Dialah Tuhan yang sebaik-baik pemberi rezeki kepada sesiapa yang Dia dikehendaki-Nya. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira." (QS Ali ‘Imran: 37).
Ada pelbagai cara untuk kita bersyukur atas kurniaan nikmat daripada Allah SWT, antaranya ialah apabila kita berkongsi rezeki dengan golongan yang lebih memerlukan. Justeru, pada Zulhijah ini, umat Islam dituntut untuk melakukan ibadah korban dengan menyembelih haiwan ternakan tertentu. Oleh itu, melalui ibadah korban juga, kita dapat meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda, selain dapat juga menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT.
Dalam perihal ibadah korban, kita perlu ketahui hikmah dalam berkongsi rezeki kepada saudara yang memerlukan pada hari raya, ia juga ada hikmah dimensi vertical bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Seseorang yang melakukan ibadah korban, maka kedudukan dia dengan Allah SWT sangatlah dekat sebab telah melakukan ibadah yang sangat Allah cintai pada hari raya. Rasulullah SAW bersabda:
"Dan sesungguhnya darah sembelihan korban itu yang jatuh ia daripada Allah pada suatu tempat kemuliaan sebelum ia jatuh ke bumi. Maka tenanglah jiwamu dengan melaksanakannya." (HR At – Tirmidzi).
Maka dari itu, bergembiralah kepada sesiapa yang melakukan ibdah korban kerana mereka merebut amalan yang paling dicintai Allah SWT daripada semua amalan anak Adam pada hari nahar (Aidiladha) sekali gus berhasil membuktikan dan menunjukkan rasa syukur atas nikmat yang Allah berikan pada mereka dengan cara mendirikan solat dan menyembelih haiwan korban.
Sumber: Portal Majlis Agama Islam Selangor
Comments
Post a Comment