ISLAM TIDAK MENOLAK HIBURAN NAMUN BERHIBURLAH MENGIKUT SYARIAT YANG DITETAPKAN

 



Islam merupakan sebuah agama pertengahan yang amat menekankan aspek spiritualiti dan pembangunan rohani, tapi pada masa sama turut membenarkan penganutnya berhibur dan berseronok, selagi mana ia tidak melampaui batas-batas syarak. Keinginan untuk berhibur dan kecintaan kepada kecantikan serta keindahan merupakan fitrah insani yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.


Terdapat satu hadith berkenaan salah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Hanzalah RA yang merasa takut dirinya telah menjadi munafiq, kerana beliau merasa lalai daripada mengingati Allah SWT dengan berhibur bersama keluarga beliau, setelah sebelumnya bermuhasabah dalam majlis bersama Nabi SAW. Baginda SAW bersabda:


“Wahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan.” (HR Bukhari).


Namun, akibat daripada sebuah konsert berdurasi 37 saat yang tular di dalam dewan sebuah institusi pengajian tinggi, ia menerima banyak kecaman daripada pelbagai pihak. Video yang memaparkan pelajar lelaki dan perempuan hadir menyaksikan konsert berkenaan sambil menari beramai-ramai dalam keadaan terkinja-kinja dan melompat-lompat itu menerima hampir kecaman dan antaranya mengaitkan tentang mentaliti mereka dan kehidupan mereka yang rata – ratanya beragama Islam. 


Memang benar, kadang kala jiwa dan minda kita memerlukan sedikit hiburan untuk merehatkan badan yang seharian penat dengan urusan dunia, namun ia bukanlah alasan untuk kita berhibur diluar batas syariat agama sehingga menyesatkan kita ke lembah kemaksiatan. Jumhur ulama dan fuqaha’ mengharamkan alat muzik. Cuma ada sebahagian mereka yang mengharuskan alat muzik tertentu dalam keadaan tertentu. Firman Allah SWT:


“Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.” (QS Luqman: 6).


Pada dasarnya, Islam tidak menyekat atau menghalang mencari hiburan selagi tidak bertentangan dengan batas syarak dan tidak lalai daripada melaksanakan perintah tuntutan agama. Namun, ia mestilah selari denga napa yang disarankan di dalam agama. Janganlah kerana alas an ingin merehatkan minda akibat urusan dunia, kita berhibur secara keterlaluan dan menyimpang daripada batas – batas syariat agama Islam. Allah SWT berfirman:


"Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia (lagha), mereka berpaling daripadanya." (QS al-Qasas: 55).


Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments