ISU PERGAULAN BEBAS ANTARA LELAKI DAN WANITA DI TEMPAT KERJA - JAGALAH IKHTILAT DAN AURAT AGAR TERHINDAR DARI DOSA MAKSIAT
Allah SWT menciptakan lelaki dan perempuan yang sudah pasti ada syariat yang ditetapkan olehNya. Malah, ketika melaksanakan tanggungjawab sudah tentu ada perkara yang perlu dijaga antaranya batas pergaulan lelaki dan perempuan terutama dalam kalangan masyarakat. Ini seperti mana yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam surah An – Nur ayat 31 yang bermaksud:
"Oleh itu, katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya..”
Terlalu banyak gejala negatif yang terjadi akibat daripada pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita terutamanya di tempat kerja. Hari ini, ‘trend’ perselingkuhan di tempat kerja sudah menjadi suatu yang normal dan tidak malu untuk dipertontonkan. Ada kes di mana pasangan berselingkuh sudah mempunyai kehidupan masing dan tidak kurang juga ada pasangan yang berselingkuh bersama pasangannya yang bujang.
Perlu diingatkan, dalam kita menjalankan amanah dan tugas, jangan sesekali melebihi batas syariat Islam. Tidak kira di mana jua kita berada, penjagaan ikhtilat dan aurat itu penting dalam menghindarkan diri kita daripada dosa maksiat. Hakikatnya, ada batas pergaulan yang dilarang dan dibolehkan dalam Islam. Cuma kita ingin menekankan ketika dalam waktu bekerja. Batasnya sama sahaja dengan keadaan di luar pekerjaan. Ini adalah antara cabaran yang dihadapi oleh pasangan yang sudah berkahwin. Bukan sahaja yang sudah berkahwin perlu menjaga aktilat (pergaulan atau percampuran antara lelaki dan perempuan), tetapi mereka yang bujang juga perlu sama-sama menjaga dalam hal ini. Pergaulan antara lelaki dan perempuan kerana keperluan (hajat) syarii dibolehkan. Antara keperluan syarii itu ialah pertama, pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam menguruskan muamalah maliyah (urusan harta) seperti jual beli dan aktiviti transaksi lain (Nihayah al-Muhtaj, Abd al-Karim Zaydan).
Kedua, pergaulan antara lelaki dan perempuan ketika bekerja. Semasa melaksanakan tugas dan kerja biasanya akan berlaku urusan antara lelaki dan perempuan. Ia dibolehkan dengan syarat kedua pihak menjaga perbatasan syarak antaranya menutup aurat, sama-sama menundukkan pandangan, perbualan atau komunikasi tidak mengandungi unsur yang boleh menimbulkan fitnah dan bukan kawasan yang tiada orang. Ketiga, pergaulan antara lelaki dan perempuan semasa menjadi saksi dalam kes yang ditentukan syarak apabila perempuan boleh dijadikan sebagai saksi. Contohnya, kes harta dan perkara berkaitan. Keempat, pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam kenderaan awam dibolehkan kerana ia atas alasan sebagai keperluan yang mendesak. Oleh itu keharusan ini dibenarkan bergantung kepada syarak bahawa seorang wanita keluar rumah bukan atas dasar berfoya-foya.
Ingatlah, dalam kita mencari rezeki kita juga perlu memperbetulkan niat kita dan sentiasa memohon kepada Allah SWT agar Allah SWT menjaga diri kita daripada terjerumus ke dalam dosa maksiat yang akhirnya membinasakan diri sendiri. Elakkan diri berbual mesra dengan rakan sekerja berbeza jantina sama ada di tempat kerja mahupun di platform media sosial. Apabila lebih menjaga, ia akan mendatangkan keberkatan dalam kehidupan, menjamin ketenangan dan melahirkan kebahagiaan antara pasangan yang sudah berkahwin.
Sumber: Dato’ Dr. Zulkifly Muda. Fiqh Wanita Berkerjaya, Seminar Fiqh Wanita & Islam 2017
Comments
Post a Comment