Sifat melampau yang disebabkan oleh kejahilan, kekeliruan dan keingkaran terhadap batasan agama telah menjadi punca kesesatan kebanyakan manusia. Ajaran sesat dapat dikesan apabila al-Quran dan hadis dipertikai serta wujud perubahan dalam kefahaman dan syariat Islam yang diamalkan.
Di dalam sejarah Islam, golongan sesat wujud pada zaman Nabi Muhammad SAW misalnya ajaran yang dibawa oleh Musailamah al-Kazzab yang mendakwa dirinya nabi dan mereka-reka ayat untuk menyaingi al-Quran. Inilah ancaman akidah yang terawal muncul ketika Rasulullah SAW masih hidup. Kelebihannya sebagai seorang yang berpengaruh dalam Bani Hanifah, malah terkenal dengan kebijakannya, lemah-lembut dan pandai berbicara menjadi salah satu sebab Musailamah mempunyai ramai pengikut. Tanpa disedari oleh pengikutnya bahawa dia sebenarnya adalah seorang yang banyak helah dan pembohong.
Oleh itu, al-Quran dan hadis serta para ulama yang muktabar mestilah selalu dirujuk agar tidak terjerumus ke dalam ajaran sesat. Jauhilah perbuatan melampaui batas yang menjadi tabiat Ahli Kitab seperti dinyatakan dalam al-Quran Surah al-Maidah, ayat 77:
Maksudnya: “Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) daripada jalan yang betul."
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment