KISAH MUSAILAMAH DAN SAJAAH: PASANGAN YANG MENCABAR NABI SAW DENGAN MENGAKUI SEBAGAI UTUSAN ALLAH DAN MENCABAR AKIDAH ISLAM

 

Musailamah bin Habib adalah individu pertama yang mengaku dirinya sebagai nabi ketika Rasulullah SAW masih hidup. Dia telah mengubah ayat al-Quran dengan mencipta ayatnya yang tersendiri. Sebagai contoh jika di dalam al-Quran terdapat Surah an-Nahl (lebah) yang menceritakan kebaikan kandungan madu, dia pun mencipta surah ad-Difda (katak) yang hanya menceritakan habitat katak di dalam air. Sungguhpun Musailamah cuba meniru gaya Bahasa al-Quran, namun bunyinya amatlah aneh untuk dibaca meskipun dia berbangsa Arab.  

Apabila sokongan terhadapnya semakin kuat, Musailamah mencabar pula Rasulullah SAW dengan mengutuskan utusan kepada Nabi Muhammad yang sedang berada di Madinah dengan pesanan: “Daripada Musailamah utusan Allah, kepada Muhamamad utusan Allah. Salam sejahtera daripada Allah, dan sesungguhnya bagi kami separuh bumi dan bagi Quraisy separuh bumi. Namun Quraisy kaum yang melampau”. Suratnya di balas Nabi SAW melalui sahabat Baginda iaitu Habib sebagai utusan. Musailamah semakin marah dan menyeksa Habib supaya mengaku kenabiannya, namun akhirnya Habib meninggal dunia mempertahankan imannya daripada mengakui nabi palsu.

Sajaah binti al-Harith pula adalah wanita pertama yang mengaku dirinya sebagai nabi setelah murtad daripada agama Islam. Kerajinannya menulis sajak menyebabkan dirinya mempunyai ramai pengikut dan mendakwa sajak tersebut adalah wahyu daripada Allah. Berita ini telah sampai ke pengetahuan Musailamah, lalu diajakknya Sajaah bernikah. Melalui penyatuan nabi palsu ini, mereka merasakan kekuatan mereka semakin teguh dan merancang menyerang kaum Muslimin secara besar-besaran. Namun, selepas berlakunya peperangan yang panjang, akhirnya sebuah kebun yang menjadi benteng pertahanan 100,000 tentera Musailamah bertukar menjadi kubur mereka apabila tentera Muslimin berjaya menyerang dan menakluk tentera Musailamah.

Kisah ini menunjukkan bahawa ancaman akidah pertama muncul dalam sejarah Islam ialah ajaran sesat yang mana pengasasnya mengakui diri sebagai nabi, bahkan mengubah al-Quran dan mencipta wahyu. Justeru itu, ambillah pengajaran daripada kisah ini supaya tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana individu yang mengakui dirinya sebagai nabi atau menerima wahyu daripada Allah melalui apa cara sekalipun kerana sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah yang terakhir dan tiada selepasnya. Bertaubatlah sebelum tertutupnya pintu taubat.

Sumber: Penulisan Setiausaha Muzakarah dan Syariat (Muhadis)


Comments