MENGAPA MASIH TERSESAT AKIDAH? SERUAN NABI MUHAMMAD SAW TELAH MENYELAMATKAN UMAT ISLAM DARI KESESATAN


Sebelum kedatangan Islam, manusia berada dalam kesesatan dan cara hidup yang menyeleweng. Seruan Nabi Muhammad SAW supaya beriman kepada Allah SWT telah menyelamatkan umat manusia dari terus hanyut dalam kesesatan dan penyelewengan. Namun, sudah menjadi tabiat manusia semenjak berzaman, mudah terjerumus di dalam kesesatan dan penyelewengan walaupun setelah menerima penjelasan dan keterangan tentang akidah Islam.

Sesungguhnya, golongan sesat sentiasa wujud di setiap zaman sama ada disebabkan oleh kejahilan, kedegilan, mempercayai ilmu daripada sumber yang tidak benar, menyandarkan kepercayaan kepada sangkaan semata-mata, sifat ego, ingin dipuja dan disanjung, keinginan untuk berbeza daripada yang lain serta tunduk kepada hawa nafsu.

Hanya dengan keimanan kepada Allah menjadikan manusia sebagai umat terbaik iaitu yang mengamalkan sifat pertengahan, tidak terlalu ekstrem atau longgar dalam kehidupan beragama. Orang yang beriman juga menjalani kehidupan berpandukan nas, hujah dan dalil yang sahih serta menggunakan pertimbangan akal fikiran yang waras dalam segenap urusan kehidupan. Justeru itu, bersyukurlah kerana telah menjadi umat umat Nabi Muhammad SAW yang sudah terlalu mudah untuk mendapatkan pelbagai ilmu pemantapan akidah dan mendekatkan diri kepada Allah iaitu melalui al-Quran dan hadis. Renung-renungkan.

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan


 

Comments