Al-Quran adalah sebuah kitab suci mengandungi wahyu daripada Allah SWT yang tidak perlu diragui kebenarannya. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 2, bermaksud:
"Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa".
Namun apa yang terjadi sejak kebelakangan ini amat mendukacitakan. Insiden pembakaran al – Quran di luar negara dan pembuangan al – Quran ke tempat yang tidak sepatutnya oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan umat Islam kerana adanya cubaan untuk menakut – nakutkan orang bukan Islam dengan fakta yang menyeleweng tentang al – Quran. Seharusnya dalam hal ini, kita sebagai umat Islam lebih teguh dalam memelihara keagungan mukjizat Allah SWT ini.
Kita seharusnya memberi penerangan dan pemahaman yang betul kepada orang bukan Islam berkenaan al – Quran dan segala isinya agar jelas. Tambahan pula, kebenaran al-Quran tidak hanya diyakini oleh kaum Muslimin, tetapi hari ini ia turut diakui oleh sebahagian orang bukan Islam.
Para ulama tafsir menjelaskan bahawa al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT sama sekali tidak mengandungi keraguan, dan menjadi petunjuk yang berguna hanya bagi orang yang bertakwa iaitu golongan yang takut melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah serta taat melaksanakan kewajipan yang diperintahkan. Beriman kepada kitab-kitab Allah SWT juga adalah salah satu dari rukun iman. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” (QS An – Nisa’: 136).
Al–Quran kekal sebagai mukjizat yang memberikan pencerahan kepada umat manusia. Isi kandungannya menjadi panduan dan pedoman dalam segenap aspek kehidupan. Bahkan keindahan al-Quran menjadi asbab golongan bukan Islam terpaut hati dengan ajaran Islam. Sewajarnya kita sebagai umat Islam untuk memelihara keagungan dan kesucian kitab suci ini. Ingatlah, al – Quran adalah mukjizat Allah SWT penyelamat kepada umat akhir zaman.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
Comments
Post a Comment