Walaupun sambutan Awal Muharram baru sehari berlalu, namun kemeriahan kita dalam menyambut kedatangannya dapat kita rasakan setiap waktu. Manakan tidak, ia mengingatkan kita tentang peristiwa hijrah kaum Muslimin yang diketuai Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah adalah satu peristiwa besar dalam sejarah Islam. Hal ini kerana bermula dari situ Islam disebarkan ke serata dunia. Dalam erti kata lain, ia titik permulaan pembangunan sistem nilai dan hidup manusia daripada keadaan lemah serta kekurangan kepada satu keadaan lebih kuat. Malah peristiwa ini juga sudah dijelaskan di dalam al – Quran, surah at – Taubah, ayat 40 yang bermaksud:
"Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedangkan dia salah seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terbawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
Justeru, mari kita kenang kembali pengorbanan Rasulullah SAW dalam usaha melakukan hijrah demi untuk mengembangkan lagi ajaran Islam di serata dunia. Sebagai umat Islam, kita harus meneruskan usaha Baginda dalam mensyumulkan agama ini agar kekal terpelihara. Selaras dengan tema Maal Hijrah tahun ini iaitu “Perpaduan Teras Malaysia Madani”, kita harus seiringan bergerak maju dengan pembangunan negara seperti yang dianjurkan oleh Kerajaan hari ini tetapi dalam masa yang sama memantapkan lagi pengembangan terhadap agama Islam agar pemahamannya boleh diterima oleh setiap lapisan masyarakat.
Tidak hanya itu, selaras dengan itu juga kita harus merubah atau dalam erti kata lain berhijrah ke atas diri kita sendiri dengan memperbaiki diri agar menjadi umat Islam yang sejati. Peristiwa hijrah membuktikan Islam bukan sahaja agama dalam pengertian yang sempit dan hanya menyentuh soal ibadat khusus sahaja, tetapi ia agama yang syumul (menyeluruh) menyentuh segala perkara bersangkutan dengan bidang kehidupan manusia, seperti politik, ekonomi, sosial, ilmu pengetahuan dan sebagainya.
Oleh itu, konsep hijrah bukan sahaja difahami daripada perspektif perpindahan tempat secara lahiriah atau fizikal, tetapi daripada perspektif dan pendekatan lebih luas yang boleh membawa kita kepada memahami segala pengajaran di sebalik peristiwa tersebut. Jika kita ingin menjadi umat yang kuat, dicontohi, mulia dan maju dalam semua aspek kehidupan seperti yang telah ditunjukkan oleh generasi Islam terdahulu, maka masyarakat Islam sewajarnya mengalukan-alukan kedatangan Hijrah pada tahun ini dengan terus mengambil iktibar daripada peristiwa suci ini. Ini kerana kejayaan pembangunan berteraskan Islam dan umatnya selepas peristiwa hijrah menjadi dokumen sejarah yang merakamkan kemenangan umat manusia. Rasulullah SAW bersabda:
"Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah SWT." (HR Abu Daud).
Sumber: Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)
Comments
Post a Comment