STATISTIK PENYAKIT KEMURUNGAN ADALAH YANG TERTINGGI SELEPAS PENYAKIT JANTUNG - MOHON KEPADA ALLAH SWT AGAR SENTIASA DIJAUHI DARI SEBARANG PENYAKIT HATI
Dalam sebuah laporan berita baru – baru ini menyatakan bahawa statistik penyakit kemurungan di Malaysia mencatatkan jumlah kedua paling tinggi selepas penyakit jantung. Akibat daripada kesan penyakit kemurungan tersebut, ia menjurus kepada gejala bunuh diri di kalangan masyarakat negara ini dan yang paling menyedihkan adalah rata – ratanya dari kalangan para belia. Laporan berita ini adalah suatu yang amat menggerunkan. Manakan tidak, golongan belia yang menjadi pelapis masa hadapan negara sanggup menggambil jalan pintas untuk mengakhiri nyawa mereka akibat daripada gagal membendung penyakit kemurungan yang diahadapi.
Kesihatan mental adalah sesuatu yang perlu diambil berat untuk masyarakat dan pihak berwajib. Ia merupakan asas kepada kesejahteraan seseorang individu untuk berinteraksi dengan orang lain, menyedari keupayaan diri, mampu mengendalikan tekanan dan dapat menjalani kehidupan dengan baik. Namun begitu tidak ramai di kalangan masyarakat yang mengetahui, mengambil berat ataupun befikiran terbuka terhadap isu ini, malah mempunyai pandangan yang negatif tentangnya. Justeru, apa yang patut kita lakukan?
Islam memberikan panduan yang berbeza dalam pemerihalan usaha mengatasi masalah kemurungan. Manusia secara fitrahnya dipengaruhi oleh unsur dalaman yang terdiri daripada perasaan, jiwa dan nafsu. Sekiranya unsur-unsur tersebut mengalami gangguan, maka ia seterusnya akan mempengaruhi tingkah laku dan perbuatannya. Terdapat sebilangan pakar agama menegaskan bahawa proses penyembuhan kemurungan dan masalah mental yang lain adalah secara kerohanian. Ia dilihat sebagai alternatif terbaik untuk merawat penyakit-penyakit mental ini dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran, mendirikan solat, bacaan zikir, doa-doa lazim dan khusus, bermunajat dan melakukan amar maa’ruf sebagaimana yang digariskan oleh syariat Islam. Firman Allah SWT:
“Maka ingatlah kepada-Ku. Aku juga akan ingat kepadamu” (QS al – Baqarah: 152).
Begitulah ayat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada hambaNya ketika dilanda kesedihan atau kemurungan. Ini merupakan peringatan dan panduan bahawa andai kita sentiasa ingat dan membesarkan keEsaanNya, maka Allah SWT akan melindungi kita sepanjang masa. Seharusnya kita memohon pertolongan kepada Allah SWT ketika dilanda kesusahan atau berada dalam kesulitan. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat” (QS al – Baqarah: 153).
Selain itu, Islam juga menyarankan melalui panduan Sunnah Rasulullah SAW yang sangat banyak dalam hal pembentukan silaturrahim dan hubungan sosial yang baik dalam masyarakat. Hubungan yang erat antara ahli keluarga dan masyarakat sekeliling berupaya merangsang pemikiran, emosi dan perasaan yang lebih seimbang, bersemangat dan bermotivasi dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan perasaan dan kemurungan, kita perlu sedar bahawa ianya boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam. Jika hati dan pemikiran kita sentiasa bersandarkan kepada sifat tawaduk, yakin dan syukur kepada Allah SWT, maka diri kita akan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya dalam menangani segala tekanan dan kemurungan tersebut.
Sumber: Dr. Khairuneezam Mohd Noor, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) (https://www.usim.edu.my/ms/berita/in-our-words-ms/kemurungan-dan-panduan-islam-dalam-menghadapinya/)
Comments
Post a Comment